Beli minyak dari Russia - Utusan Malaysia

Beli minyak dari Russia

ANWAR Ibrahim menandatangani plak Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, Kelantan sambil diiringi Mohd. Nassuruddin Daud (kiri), semalam. - MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan berunding dengan Russia untuk pembelian bahan api bagi mengelak kebergantungan terhadap sumber dari negara-negara Teluk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mempelbagaikan sumber petroleum bagi kegunaan dalam negara amat penting untuk menjamin kestabilan bekalan, susulan konflik di Asia Barat khususnya Selat Hormuz.

Anwar turut menyentuh negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang dahulunya menyekat Russia, namun kini terpaksa berebut membeli minyak dari negara itu.

“Nasib baik hubungan kita dengan Russia masih baik. Jadi, pasukan Petronas boleh berunding dengan Russia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Perdana Menteri berkata, tindakan diplomasi awal kerajaan berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz, sekali gus mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara.

Katanya, ketegangan geopolitik melibatkan AS, Israel dan Iran memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan global, harga minyak serta bekalan baja yang menjadi keperluan penting negara.

“Alhamdulillah, kapal mi­nyak Petronas semalam (Jumaat)telah selamat tiba di Pen­gerang. Keperluan penghantaran ke Pengerang ini pen­ting kerana proses penapisan hanya boleh dilakukan di situ.

“Kejayaan tersebut hasil hubungan awal kerajaan de­ngan kepemimpinan Iran membolehkan laluan diberikan ketika rundingan antarabangsa mengenai masa depan Selat Hormuz masih menemui jalan buntu,” ujarnya.

Mengulas mengenai kenaikan harga diesel, Perdana Menteri berkata, ia hanya memberi kesan kepada 15 peratus rakyat di negara ini.

Anwar berkata, sebanyak 85 peratus rakyat tidak menggunakan bahan bakar tersebut mengikut harga pasaran, sebaliknya menerima subsidi yang ditampung kerajaan.

“Apa yang dihebahkan adalah yang 15 peratus itu. Kajian menunjukkan harga diesel pasaran yang tinggi itu memberi kesan kepada 15 peratus rakyat. 85 peratus lagi rakyat tidak menggunakan diesel harga pasaran tetapi harga subsidi.

“Bagaimanapun, kita setuju ada yang terkesan. Bagi pengangkutan terutama bas sekolah, lori-lori strategik dan nelayan dikecualikan (kerana menerima subsidi). Ada yang marah dengan mengatakan bahawa nelayan terkesan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan sentiasa mengadakan rundingan dan perbincangan setiap hari untuk mencari jalan bagi me­ringankan beban rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×