HULU TERENGGANU: Harga lumayan ikan kelah menjadi punca kegiatan mencuri spesies itu di Santuari Kelah Sungai Petang di Tasik Kenyir, di sini yang didakwa dilakukan secara terancang apabila penceroboh mampu melepasi kawalan keselamatan ketat tanpa dikesan.
Lebih membimbangkan, tindakan itu menjejaskan populasi spesies berkenaan sehingga kawasan santuari tersebut terpaksa ditutup kepada umum pada 6 April lalu.
Menurut sumber, kejadian kehilangan ikan bernilai tinggi itu dikesan sejak bulan lalu apabila jumlah ikan di kawasan berkenaan berkurangan secara mendadak.
“Ikan di kawasan itu tiba-tiba ‘ghaib’ dan dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab yang menceroboh masuk ke kawasan santuari yang dikawal rapi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, pintu masuk ke kawasan sungai tersebut berada di bawah kawalan ketat, sentiasa berkunci serta dipantau 24 jam oleh petugas.
Namun, situasi itu menimbulkan tanda tanya apabila penceroboh masih memasuki kawasan berkenaan tanpa dikesan.
Sumber turut mengesahkan tiga individu ditahan ketika sedang menyiang ikan kelah di kawasan santuari tersebut, baru-baru ini.
Paling menyedihkan, ikan kelah seberat kira-kira tiga kilogram (kg) antara yang dipercayai dicuri, sedangkan spesies itu merupakan tarikan utama pelancong.
“Ikan kelah tersebut antara yang menjadi tarikan setiap kali pelancong datang ke santuari ini. Saya sangat terkilan dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sumber berkata, keadaan kawasan yang dikelilingi hutan tebal tanpa laluan alternatif jelas menimbulkan persoalan bagaimana penceroboh boleh melepasi kawalan keselamatan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujud pengetahuan dalaman mengenai akses ke lokasi berkenaan, selain mendakwa kegiatan itu dipercayai didalangi individu dari kampung berhampiran yang arif dengan selok-belok hutan serta laluan sungai.
Malah, penceroboh dipercayai menggunakan arus elektrik dalam aktiviti menangkap ikan.
Sumber berkata, kaedah itu dipercayai menyebabkan ikan-ikan ada melarikan diri dan berkumpul di kawasan lain, sekali gus menyukarkan pengesanan serta meningkatkan aktiviti tangkapan haram dalam jumlah yang banyak tanpa perlu memancing.
“Sasaran mereka adalah ikan kelah bersaiz antara 700 gram hingga satu kilogram seekor untuk dijual di pasaran tempatan.
“Perjalanan ke lokasi dari jeti Gawi mengambil masa lebih sejam dan kawasan itu sememangnya dipantau rapi, namun mereka dipercayai menggunakan laluan tertentu bagi mengelak dikesan,” jelasnya.
Ikan kelah merupakan antara spesies ikan air tawar paling mahal di negara ini kerana rasanya yang enak serta sukar diperoleh, sekali gus menjadikannya sasaran aktiviti pencerobohan dan kecurian.
Di pasaran tempatan, kelah ternakan dijual sekitar RM150 hingga RM300 sekilogram, manakala kelah liar terutama kelah merah boleh mencecah antara RM500 hingga lebih RM1,000 sekilogram.
Harga tinggi itu didorong oleh faktor rasa yang enak, nilai eksklusif serta kesukaran mendapatkan spesies berkenaan di habitat semula jadi.
Sehubungan itu, pihak berkaitan digesa memperketatkan kawalan serta menjalankan siasatan menyeluruh termasuk kemungkinan pembabitan pihak tertentu bagi membendung kegiatan tersebut daripada terus berleluasa.
Untuk rekod, pada Ogos tahun lalu, kehilangan ikan kelah di Santuari Kelah Tasik Kenyir turut mencetuskan tanda tanya apabila spesies berkenaan tiba-tiba lesap, sekali gus mengecewakan pelancong yang berkunjung ke lokasi tersebut.
Kejadian itu menimbulkan rasa kecewa terutama dalam kalangan pelancong yang datang dari jauh, termasuk warga emas, dengan bayaran tiket antara RM35 hingga RM50 seorang. – UTUSAN










