KLUANG: Kerajaan menyasarkan menjadikan 500 kampung di seluruh negara sebagai Kampung Angkat Madani sepanjang tahun ini susulan impak positif pelaksanaan inisiatif tersebut khususnya daripada golongan sasar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sasaran tersebut merupakan peningkatan ketara berbanding pelaksanaan inisiatif sama, sejak dua tahun lalu.
Katanya, sebanyak 43 kampung menerima manfaat daripada inisiatif itu pada tahun 2024 semasa ia baharu diperkenalkan, manakala 219 kampung terlibat pada tahun 2025.
“Inisiatif Kampung Angkat Madani diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 bertujuan meningkatkan kemudahan asas masyarakat luar bandar menerusi pendekatan ‘Whole of Government’.
“Bagi tahun 2026, kita sasarkan sebanyak 500 Kampung Angkat Madani berikutan impak positif yang diterima oleh masyarakat luar bandar,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Kampung Angkat Madani di Kampung Orang Asli Berasau, di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut memberitahu, projek naik taraf dijalankan di kampung berkenaan termasuklah pembangunan infrastruktur dan sosial melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
“Antara projek yang dilaksanakan termasuk penyediaan bekalan elektrik 24 jam menggunakan sistem solar serta pembinaan balai raya berbumbung solar bagi kegunaan penduduk setempat.
“Sistem solar berkapasiti lebih 50 kilowatt puncak dengan sistem storan tenaga 516 kilowatt jam itu mampu membekalkan elektrik berterusan kepada lebih 20 rumah selain balai raya kampung. Projek ini kali pertama dilaksana di kawasan kampung Orang Asli yang terletak jauh dari jalan utama, sekali gus menjadi model kepada kampung Orang Asli lain,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz memberitahu, kerajaan pusat telah memperuntukkan RM34.9 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek naiktaraf kampung-kampung Orang Asli di seluruh Johor sepanjang tahun 2024 dan 2025.
“Di Johor, terdapat seramai lebih 18,000 masyarakat Orang Asli yang menetap 60 perkampungan seluruh negeri dan kesemua ketua keluarga mereka turut menerima manfaat Bantuan Kasih Johor dilaksana kerajaan negeri.
“Antaranya termasuklah pemberian sumbangan RM200, bakul makanan serta kerja-kerja naik taraf infrastruktur sekitar kampung dengan peruntukan sebanyak RM1.67 juta,” katanya. – UTUSAN











