SEREMBAN: Enam individu termasuk dua orang wanita ditahan selepas mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah masuk pencawang pemancar telekomunikasi.
Kejadian berlaku di tangki air Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) Nilai Spring, Villa Desa Casia, Bandar Baru Nilai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan dalam beberapa siri serbuan pada semalam dan hari ini.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat kira-kira pukul 7.17 malam semalam berhubung kejadian pecah masuk di tapak pencawang pemancar telekomunikasi di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati pintu caging Unit Remote Radio (RRU) milik syarikat telekomunikasi telah dipecah masuk dan beberapa peralatan telah hilang dipercayai dicuri.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menjalankan operasi dan berjaya menahan enam suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya telah merampas beberapa peralatan telekomunikasi termasuk RRU, Quad Band Combiner serta pelbagai perkakas yang dipercayai digunakan bagi melakukan jenayah selain kenderaan yang digunakan oleh suspek.
“Siasatan awal mendapati kumpulan ini bertindak secara terancang dengan memecah masuk pencawang telekomunikasi, mencabut komponen peralatan sebelum dijual di pasaran besi buruk bagi mendapatkan keuntungan,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian suspek mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah terdahulu, termasuk kes berkaitan kecurian, samun serta kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Sehubungan itu, kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan itu turut terlibat dalam beberapa kes kecurian lain di sekitar daerah ini. – UTUSAN











