KOTA BHARU: Pelajar perempuan yang merupakan mangsa kedua dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) oleh seorang guru di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini, Zara Aftar Zamzuri, 13, akan menjalani pembedahan tampalan kulit pada bahagian cuping telinga, Isnin ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNK) Kelantan, Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, pembedahan itu dilaksanakan oleh pakar bedah plastik menggunakan bahan perubatan khusus bagi menggantikan bahagian kulit yang rosak.
Katanya, mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) dipindahkan ke Wad 10, iaitu wad kelas pertama di sini selepas pembedahan.
Ujarnya, mangsa sudah menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan awal melibatkan patah tulang kaki serta luka pada muka dan telinga minggu lalu.
“Kecederaan pada telinga mangsa agak serius apabila koyak dan dipenuhi kotoran termasuk serpihan jalan dan tar susulan kemalangan tersebut. Pembedahan pertama sebelum ini tertumpu kepada proses pembersihan luka secara menyeluruh.
“Kini, selepas keadaan luka bertambah baik dengan pertumbuhan tisu baharu, barulah prosedur tampalan boleh dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.
Dr. Azman berkata, pihak hospital memulakan bantuan awal psikologi secara berperingkat kepada mangsa dan keluarganya.
Katanya, pakar psikiatri kanak-kanak turut terlibat bagi membantu memulihkan trauma akibat kejadian tersebut, bergantung kepada respons pesakit.
Menurut beliau, tempoh rawatan mangsa dijangka mengambil masa lebih lama kerana pihak hospital perlu memastikan semua luka sembuh sepenuhnya. terutama bagi mengelakkan risiko jangkitan pada kawasan sensitif seperti muka dan telinga.
Katanya, pemantauan rapi di wad ketika ini adalah langkah terbaik sebelum pesakit dibenarkan pulang.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, mangsa kedua dilanggar SUV oleh seorang guru di hadapan surau SMK Tanjong Mas menjalani rawatan bantuan awal psikologi HRPZ II.
Zara Aftar kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan lanjut. – UTUSAN











