SEOUL: Sebuah kapal tangki minyak Korea Selatan melalui Laut Merah buat pertama kali sejak penutupan berkesan Selat Hormuz, kata Kementerian Lautan dan Perikanan Seoul pada Jumaat.
Korea Selatan yang bergantung kepada import mengambil langkah bagi mengurangkan risiko terhadap bekalan tenaganya sejak serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari yang menyebabkan Teheran menutup akses ke selat tersebut, yang kini berada di bawah sekatan Washington.
Seoul mencari sumber minyak baharu dan bulan ini menyatakan akan menghantar lima kapal berbendera Korea Selatan ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah, Arab Saudi bagi mewujudkan laluan alternatif.
Kementerian itu mengumumkan pada Jumaat ia merupakan “kes pertama penghantaran minyak mentah ke negara itu melalui Laut Merah sebagai laluan pintasan, sejak sekatan Selat Hormuz.
Presiden, Lee Jae Myung menyifatkannya sebagai ‘pencapaian berharga’ yang dicapai oleh kementerian berkaitan yang bertindak sebagai satu pasukan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang telah bekerja keras siang dan malam walaupun dalam keadaan sukar, terutama para pelaut,” katanya di platform X.
Ketua Staf Presiden, Kang Hoon-sik berkata, Korea Selatan memperoleh bekalan lebih 270 juta tong minyak mentah melalui laluan yang tidak terjejas oleh krisis Hormuz sehingga akhir tahun ini.
Katanya, jumlah itu bersamaan lebih tiga bulan keperluan minyak Korea Selatan berdasarkan data tahun lalu.
Pegawai berkenaan baru-baru ini pulang dari lawatan ke Kazakhstan, Oman, Arab Saudi dan Qatar dalam usaha mendapatkan sumber bahan api alternatif.-AFP










