SEREMBAN: Pembukaan kilang penghasilan produk bilik bersih (cleanroom) yang digunakan meluas dalam industri seperti semikonduktor, farmaseutikal di Pajam di sini dijangka dapat memenuhi permintaan produk itu di pasaran.
Pengarah Eksekutif iCents Group Holdings Berhad, Foo Siang Leng berkata, kilang berkenaan adalah berkeluasan kira-kira 25,000 kaki persegi termasuk gudang seluas 4,000 kaki persegi bagi menyokong operasi pengeluaran.
“Kilang ini mempunyai kapasiti pengeluaran mencecah 3,000 meter persegi bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap produk ‘cleanroom’ berkualiti tinggi.
“Dalam tempoh kurang 10 tahun produk akan berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Thailand, Indonesia, Vietnam dan Singapura.
“Perkembangan ini didorong oleh perancangan perniagaan strategik serta sokongan berterusan daripada kerajaan tempatan dan pelbagai agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn. Bhd di Pajam, Mantin, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Teo Kok Seong yang mewakili Menteri Besar berkata, pembukaan kilang melibatkan nilai pelaburan RM15 juta itu dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan industri teknologi tinggi di Negeri Sembilan.
Katanya, pelaburan tersebut merupakan inisiatif tempatan yang signifikan dalam menyokong perkembangan sektor perindustrian negeri, khususnya dalam bidang pembuatan komponen berteknologi tinggi.
Kilang Maytech Cleanroom Manufacturing menghasilkan pelbagai produk berteknologi tinggi termasuk sistem dan peralatan cleanroom, panel modular, pintu khas serta komponen kawalan persekitaran berketepatan tinggi.
Produk tersebut digunakan secara meluas dalam industri seperti semikonduktor, farmaseutikal, bioteknologi dan pusat data yang memerlukan piawaian kualiti tinggi. – UTUSAN











