KUALA LUMPUR: Sekretariat Reformasi Institut Pendidikan Tinggi (#ReformIPT) mengemukakan 10 tuntutan bagi menuntut keadilan terhadap mangsa kluster kanser yang didakwa berpunca daripada kecuaian di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Brendon Gan berkata, pihak PPUM didakwa gagal mematuhi Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) selain tidak mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menuntut siasatan telus dijalankan oleh badan bebas bagi memastikan keadilan serta kebajikan mangsa terjamin.
Katanya, siasatan tersebut perlu dilaksanakan tanpa sebarang konflik kepentingan, khususnya melibatkan institusi berkaitan termasuk PPUM dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kami menyeru pihak berwajib agar melaksanakan 10 tuntutan yang dikemukakan, antaranya penubuhan badan bebas bagi menjalankan siasatan telus serta audit keselamatan radiasi secara menyeluruh.
“Selain itu, pemantauan dos radiasi secara berkala serta perlindungan terhadap semua pekerja, pesakit dan pelawat perlu dipertingkatkan. Latihan keselamatan radiasi juga perlu dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan radiasi serta kewujudan kluster kanser melibatkan kakitangan PPUM, di sini hari ini.
Brendon berkata, PPUM juga perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan mematuhi Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.
“Selain itu, kami menuntut sokongan kesihatan serta pampasan kewangan diberikan kepada staf dan keluarga yang terjejas akibat pendedahan radiasi di PPUM.
“Kami juga menggesa penambahbaikan infrastruktur dan prosedur di PPUM. Memandangkan ia institusi perubatan, pertemuan bersama Bahagian Kawalan Radiasi dan Perubatan (BKRP) juga perlu diadakan,” katanya.
Menurut seorang mangsa yang juga bekas juru X-ray di Unit Perubatan Nuklear PPUM, Nur Fauzia Abdul Razak, beliau kini menghidap kanser Hodgkin’s lymphoma tahap empat yang didakwa berpunca daripada pendedahan berpanjangan terhadap radiasi.
Keadaan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pemasangan mesin Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) di PPUM beberapa tahun lalu, yang didakwa menjadi antara faktor kepada pendedahan radiasi tersebut.
Sehingga kini, tiga kakitangan PPUM disahkan menghidap kanser termasuk kanser paru-paru, darah dan payudara.
Selain itu, empat lagi kakitangan disahkan menghidap penyakit tiroid. – UTUSAN











