Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dalam tempohnya, justeru itu masa yang diluangkan lebih banyak di rumah, dan sebarang urusan atau pekerjaan dilakukan di atas talian atau online, seperti belajar, mesyuarat, bahkan berbelanja.
Memandangkan dalam tempoh ini kita lebih terdedah kepada dunia digital dan internet, amatlah bagus sekiranya kita dapat mengambil peluang ini untuk meningkatkan kebolehpasaran diri melalui kelas atau program online yang diadakan secara percuma yang banyak dianjurkan dan diiklankan oleh kerajaan mahupun institusi tertentu seperti kelas bahasa, bengkel kemahiran dan sebagainya.
Program dianjurkan secara percuma ini adalah satu cara mengisi masa luang sekaligus menambah kemahiran diri.
Antara kelebihan yang bakal diperoleh dengan mengikuti kelas kemahiran seperti ini adalah, dapat memajukan kemahiran interpersonal, seperti kemahiran bertutur, kemahiran bercakap dalam pelbagai bahasa, kemahiran berfikir secara kritis dan sebagainya.
Individu berkemahiran interpersonal mempunyai peluang lebih besar diterima bekerja, seperti penutur pelbagai bahasa.
Kemahiran kita pelajari itu turut dapat memajukan kerjaya kita, kerana kita akan lebih fleksibel dan mampu melakukan tugas dengan baik.
Contohnya, kemahiran menggunakan Microsoft Excel dapat memudahkan kerja kita terutama mereka yang bekerja di pejabat.
Justeru itu, ambillah peluang yang ada kerana ia kelak mampu mempersiapkan diri sebelum melangkah ke dunia pekerjaan pula.
Namun bagi mereka yang sudah bekerja, kemahiran diperoleh, dapat menjadikan kita lebih fleksibel dalam pelbagai posisi kerja mahupun keadaan, terutama dalam tempoh pandemik ini, yang memerlukan kita untuk beradaptasi dengan setiap keadaan.
—–
Imanuddin Khidam Shah, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam – Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.











