Selepas berkecimpung selama tujuh tahun dalam bidang seni bina, Nabilah Nordin akhirnya membuat satu keputusan yang mengubah kehidupannya, iaitu dengan menjadi jurusolek artis. Keputusan itu tidak dibuat terburu-buru, malah menyifatkannya sebagai antara langkah terbaik dalam kehidupannya kerana berpeluang melakukan apa yang disukainya dengan sepenuh hati.
WARISI MINAT DARIPADA IBU
Gara-gara terlalu mencintai warna, Nabilah yang merupakan graduan jurusan seni bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Brighton, United Kingdom (UK) berkata, dia sanggup meninggalkan kerjaya arkitek bagi mengasaskan Warnabilla enam tahun lalu.
Warnabilla iaitu gabungan warna dan namanya, sebuah jenama yang berakar daripada seni solekan dan konsultasi warna untuk individu yang tercari-cari penampilan sempurna.
“Selepas kembali ke tanah air dari UK, saya sempat bekerja dalam bidang seni bina. Pada masa itu saya terbabit dalam projek kecil-kecilan seperti projek bangunan kecil kerajaan dan penempatan.
“Sebagai wanita, saya sukar untuk bekerja secara rutin dalam pejabat. Berbeza dengan jurusolek, kerja dua hingga tiga jam sahaja, kemudian boleh balik. Dapat bayaran pun pada masa itu juga.

“Hakikatnya minat saya ternyata ke arah warna dan solekan dan akhirnya menceburkan diri dalam bidang jurusolek pengantin sepenuhnya sejak tahun 2013. Sudah tentu keputusan untuk beralih arah kerjaya awalnya mengejutkan ibu bapa yang menentang keputusan saya itu,” katanya.
Katanya minat yang mendalam terhadap warna-warna terutama dalam solekan, membuatkan Nabilah bertekad dengan keputusan untuk menceburi bidang ini dan yakin kerjaya ini boleh berkembang di masa depan.
Nabilah berkata, bapanya yang juga seorang arkitek di Nas Atkitek kemudiannya menyokong hasrat anak gadisnya itu kerana sebagai pengamal arkitek, lelaki itu menyedari kerjaya arkitek mungkin glamour pada nama tetapi adalah kerjaya yang mencabar.
Ibunya pula seorang jurusolek artis suatu ketika dulu. Mungkin minatnya dalam solekan diwarisi dari ibunya itu.
Walaupun pada awalnya ibunya agak ralat dengan keputusan Nabilah yang sebelum ini sudah menghabiskan masa selama tujuh tahun mendalami bidang arkitek, akhirnya dia reda dengan keputusan anaknya.
“Ibu mana yang tidak terkejut bila tiba-tiba saya tidak mahu lagi mengamalkan apa yang dipelajari tetapi apabila melihat saya gembira dan minat yang cukup mendalam dalam kerjaya jurusolek, hatinya mula lembut.
“Ibu mula nampak kerjaya saya semakin berkembang agak besar. Sebagai jurusolek terutama jurusolek artis, saya berpeluang mengembara ke seluruh dunia untuk sesi penggambaran termasuk membabitkan jenama antarabangsa seperti kempen swarovski di Dubai untuk Asia Tenggara dan kempen Downy di Bangkok,” katanya.
Kerjayanya mula berkembang apabila sentuhan magis Nabilah dalam solekan menarik perhatian beberapa selebriti tanah air.

Antara artis dan selebriti awal yang mendapatkan sentuhan solekannya adalah Nadia Nisa, Vivy Yusof, Izzara Aisyah, Umi Nazeera dan Mira Filzah. Mira yang paling banyak disoleknya sejak enam tahun lalu.
SOLEKAN UNTUK FILEM
Terbaharu, Nabilah menerima tawaran merias pelakon dalam sebuah filem baharu yang menjalani penggambaran di Nagata, Jepun.
Tugasannya kali ini memerlukan Nabilah berada di Jepun selama tiga minggu dan paling menarik, ia adalah tugasan pertama Nabilah dalam filem. Sudah tentu banyak bezanya antara solekan lain seperti solekan pengantin, drama, kempen dan fesyen.
“Filem mempunyai bajet lagi besar dan jadual penggambaran pun lain. Manakala dari segi pencahayaan juga banyak beza. Solekan untuk filem sebenarnya lebih mudah iaitu hanya menampakkan watak itu wujud. Bukan sekadar nampak cantik bersolek.
“Pengalaman bekerja di Jepun sangat menarik. Saya dapat bekerja dengan kru produksi Jepun yang sangat baik dan menyenangkan. Saya juga berpeluang pergi ke tempat bermain salji yang sangat cantik setiap hari. Ini adalah pengalaman baharu yang sangat berharga bagi saya,” katanya.

Pengalaman bermain salji itu menambah koleksi hobinya. Ditanya mengenai aktiviti di masa lapang, Nabilah mengakui mempunyai terlalu banyak hobi walaupun jadual sehariannya terlalu ketat sepanjang hari.
Antaranya Nabilah gemar menulis jurnal. Terbaharu dia kini fokus untuk menguasai sukan luncur papan salji dan seni memanah berkuda.
Sepanjang bergelar jurusolek artis, Nabilah mengakui tidak dapat lari daripada pengalaman pahit.
Sudah tentu pengalaman manis lebih banyak dan semuanya memberikan yang dorongan untuknya terus melangkah dalam kerjaya ini.
Katanya pengalaman manis sudah tentu apabila dapat menjelajah ke seluruh dunia dengan berus dan warna solekan ditangannya bagi merias wajah setiap pelanggan.
“Apabila mendapat pelanggan yang betul-betul menghargai kerja saya, ia sudah cukup memberi kepuasan dalam kerjaya ini.
“Pengalaman pahit sebenarnya terlalu sedikit. Antaranya ada pelanggan yang menipu dan segelintir yang agak kurang adab.
“Saya berpendirian ragam-ragam pelanggan ini adalah normal dan saya anggap ia sebahagian daripada rencah dalam kerjaya dan saya belajar daripada kesilapan.
“Saya selalu berkata ‘tidak apa’ untuk menyejukkan hati dan kembali fokus dengan tugasan yang diamanahkan kepada saya,” katanya.
PELANGGAN NAMPAK ‘MANDI’
Selain sibuk dengan pelbagai tugasan, Nabilah yang mengendalikan studio perunding Warnabila, menawarkan analisis warna secara peribadi bagi membantu individu memilih warna yang sesuai dengan diri mereka.
Nabilah memperkenalkan sistem 12 sehingga 16 kategori variasi warna bersama rakan yang juga seorang jurusolek artis
Kebanyakan pelanggannya selain selebriti dan artis, adalah ahli korporat lelaki dan wanita yang mementingkan penampilan diri kerana mereka banyak bertemu orang ramai.
Ramai yang tidak menyedari pemilihan warna busana memainkan peranan dalam imej seseorang.

“Ramai fikir pemilihan warna tidak penting dan lebih memilih warna yang mereka gemari saja sedangkan mungkin warna itu tidak sesuai dengan mereka.
“Apabila memilih warna yang betul, wajah akan berseri selain penampilan juga akan lebih menyerlah. Apa yang penting, anda nampak ‘mandi’ apabila memilih warna solekan dan warna pakaian yang segar.
“Kalau memilih warna yang betul, pasti akan ada orang memuji penampilan anda yang lebih menarik berbanding warna yang sering anda gayakan sebelum ini,” katanya.
Bagi tampil segar ketika berkunjung ke pelbagai majlis keraian termasuk sambutan Aidilfitri, Nabilah mencadangkan solekan yang boleh tahan panas selain memakai warna yang membuatkan wajah lebih menyerlah.
Sebagai contoh, lipstik yang agak terang sedikit iaitu menggunakan warna ‘nude’ atau merah mawar.
Pilih pemerah pipi atau blusher yang membuat muka nampak hidup. Kalau boleh elakkan bermekap tebal kerana ia tidak berapa sesuai khususnya apabila berkunjung ke rumah orang.
“Dalam kebanyakan keadaan, solekan biasa tetapi berseri sangat penting menerusi pemilihan warna yang betul. Muka perlu nampak segar walaupun berkulit gelap dan sebagainya. Apabila memakai warna yang betul, orang akan tegur anda cantik. Nampak ‘mandi’ dan segar,” katanya.
PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN
Sebelum itu, Nabilah terlibat dalam penganjuran WarnaRAYA iaitu gabungan pertunjukan fesyen dan Bazar 2026 yang berlangsung penuh meriah pada 14 hingga 15 Februari lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Penganjuran itu memberi pengalaman manis kepada Nabilah yang pertama kali menganjurkan program dalam skala besar membabitkan 10 pereka fesyen ternama seperti Rizman Ruzaini, Maslea, Abu Shaef Hamza, Hafizi Woo dan Izree Kai Haffiz.
“WarnaRaya menawarkan konsep lebih daripada sekadar destinasi membeli-belah dan sebagai platform berteras warna yang menghimpunkan dunia fesyen, kecantikan, gaya hidup dan komuniti dalam sebuah persekitaran yang imersif.
“Acara selama dua hari itu menampilkan pertunjukan fesyen profesional di pentas peragaan, digandingkan dengan bazar Raya yang memberi ruang kepada pengunjung untuk meneroka, berinteraksi dan meraikan musim perayaan dengan cara yang lebih bermakna,” katanya.

Menurut Nabilah, WarnaRAYA lahir sebelum Ramadan lalu daripada kepercayaan melangkaui nilai estetika semata-mata.
Katanya, program itu diadakan untuk meraikan hari raya dengan cara yang lebih peribadi, ekspresif dan menyentuh emosi. Baginya, hari raya bukan sekadar mengenai apa yang kita pakai tetapi satu pembaharuan, identiti dan bagaimana kita menampilkan diri sebagai diri kita yang sebenar.
Melalui WarnaRAYA KLCC, Nabilah ingin mewujudkan ruang supaya pereka dapat berkongsi kisah mereka, jenama dapat berhubung secara autentik dengan khalayak dan pengunjung dapat mengalami Hari Raya melangkaui pengalaman transaksi semata-mata.
LUASKAN PERNIAGAAN
Selepas kejayaan WarnaRAYA, Nabilah mempunyai pelbagai perancangan untuk mengembangkan perniagaannya dalam industri solekan dan perunding warna dalam jangka masa panjang dan pendek.
Buat masa ini, Nabilah giat menumpukan kepada kelas penguasaan seni solekan yang akan dibuka untuk mereka yang berminat dalam bidang ini.
Bagi Nabilah, apa jua kerjaya yang diceburi perlu didasari minat yang mendalam, kerana tanpa itu seseorang akan sukar memberi tumpuan dan sekali gus menghadkan potensi untuk mengembangkan kerjaya.










