KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan sebanyak 5,000 kes tuntutan nafkah dapat dibantu menerusi program Majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal (KasihniTa) pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu memberi fokus kepada wanita khususnya ibu tunggal yang memerlukan sokongan segera.
“Program ini diwujudkan susulan maklum balas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai isu kegagalan bapa mematuhi perintah mahkamah berkaitan nafkah anak.
“Terdapat kes perintah mahkamah tidak dipatuhi sehingga menjejaskan kebajikan ibu tunggal dan anak-anak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal (KasihnIta), di sini hari ini.
Menurut Nancy, keadaan itu mendorong kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita memperkenalkan pendekatan tersebut.
“Program ini merangkumi aspek perundangan, kewangan dan sokongan emosi kepada peserta. Agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut terlibat membantu dari sudut pengurusan kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keutamaan diberikan kepada ibu tunggal golongan B40 yang tiada pendapatan tetap.
“Program yang bermula tahun lalu ini menunjukkan keperluan tinggi walaupun kesedaran masih rendah.
“Pelaksanaan akan diperluaskan ke seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pengamal undang-undang,” katanya.
Pada tahun 2025, program ini telah mencatat pencapaian yang sangat memberangsangkan dengan penglibatan hampir 1,900 ibu tunggal di enam (6) zon seluruh negara.
KasihnITa dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif utama menyokong Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030. – UTUSAN











