Ketegangan geopolitik lonjak permintaan hartanah - Utusan Malaysia

Ketegangan geopolitik lonjak permintaan hartanah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketegangan geopolitik dijangka mempercepat pengalihan perdagangan sekali gus meningkatkan permintaan terhadap industri hartanah bagi tahun kewangan 2026.

CGS International berkata, perkembangan itu turut disokong oleh peningkatan pertanyaan daripada pemain pusat data (DC) yang melihat Malaysia sebagai lokasi alternatif berdaya maju dalam persekitaran serantau yang semakin berubah.

“Kami percaya ini memberi manfaat kepada pemaju dengan pendedahan industri yang lebih tinggi seperti SDPR dan Eco World, yang secara konsisten memperoleh kira-kira 30 hingga 40 peratus jualan daripada taman industri,” katanya dalam nota penyelidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, keadaan itu meletakkan pemaju berkenaan pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan permintaan.

Firma itu berkata, hasil pertemuan dengan beberapa REIT industri dan pemaju hartanah utama mendapati prospek sektor berkenaan kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran jangka pendek susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat bagi tahun kewangan 2026.

Katanya, kebanyakan pemaju hartanah tempatan turut mengekalkan sasaran jualan bagi tahun kewangan 2026, mencerminkan permintaan yang stabil walaupun dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

“Kami mendapati pemain hartanah industri kekal optimistik terhadap segmen ini, yang terus disokong oleh pertumbuhan permintaan berstruktur di Malaysia.

“Ini turut diperkukuh oleh pengembangan pendedahan industri mereka, termasuk usaha sama (JV) akan datang oleh Sime Darby Property dengan SD Guthrie Bhd,” katanya.

Beliau berkata, usaha sama itu dijangka menambah kira-kira 5,000 ekar tanah industri, selain sasaran Axis REIT untuk menggandakan aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM10 bilion menjelang 2030F.

Dalam pada itu, CGS International berkata kebimbangan terhadap potensi penyusutan margin akibat kenaikan kos diesel dan bahan binaan adalah terkawal, menurut maklum balas pengurusan.

“Ini memandangkan sebahagian besar kos pembinaan bagi projek semasa telah dikunci melalui kontrak jumlah pukal,” katanya.

Bagaimanapun, firma itu berpandangan risiko masih tertumpu kepada projek baharu yang belum memuktamadkan kontrak pembinaan, sekali gus terdedah kepada inflasi kos.

“Impak kos juga bergantung kepada peringkat pembangunan, dengan projek fasa awal seperti bandar baharu dan taman industri menggunakan lebih banyak diesel.

“Namun begitu, syarikat tidak menjangkakan sebarang kelewatan dalam pengebilan kemajuan atau penyerahan projek, disokong hubungan kukuh dengan kontraktor serta kedudukan kewangan yang sihat,” ujarnya.

Antara syarikat yang ditemui termasuk Axis REIT, Mah Sing Group, Sime Darby Property, Matrix Concepts Holdings dan AME Elite Consortium.

Sehubungan itu, CGSI mengekalkan penarafan “Neutral” ke atas sektor berkenaan walaupun menjangkakan pendapatan bagi tempoh tahun kewangan 2026 hingga 2028 kekal berdaya tahan.

Firma itu turut menjadikan Eco World sebagai pilihan utama disokong trajektori pendapatan yang kukuh serta potensi pengkomersialan tanah, selain hasil dividen yang menarik.

Sime Darby Property turut disenaraikan sebagai pilihan utama berikutan keseimbangan jualan antara segmen kediaman dan industri serta peningkatan pendapatan berulang daripada usaha niaga pusat data.

Dari segi penilaian, sektor itu kini diniagakan pada 12 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2026 dan 0.7 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV), sekitar satu sisihan piawai di atas purata 10 tahun.

Firma itu melihat potensi pengembangan penilaian pada masa hadapan disokong pemangkin seperti pengkomersialan REIT dan jualan tanah tambahan, namun memberi amaran terhadap risiko penurunan termasuk perubahan dasar perumahan serta kenaikan tidak dijangka Kadar Dasar Semalaman (OPR). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini