KUALA LUMPUR: Organisasi di Malaysia didapati sanggup mengetepikan risiko keselamatan dan pematuhan demi memacu pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan di belakang pesaing.
Penyelidikan global TrendAI melibatkan tinjauan ke atas 3,700 pembuat keputusan di 23 buah negara, menunjukkan bahawa tekanan kompetitif kini mengatasi kematangan tadbir urus di kebanyakan syarikat di Malaysia.
Dapatan terbaharu kajian itu mendedahkan sebanyak 75 peratus pembuat keputusan IT dan 70 peratus pemimpin perniagaan di negara ini mengaku berasa tertekan untuk meluluskan projek AI walaupun mempunyai keraguan keselamatan yang tinggi.
Kajian itu turut mendedahkan tahap keyakinan yang rendah terhadap sistem autonomi, di mana hanya 44 peratus pembuat keputusan perniagaan yakin Agentic AI (AI ejen) mampu memperkukuh pertahanan siber dalam tempoh terdekat.
Pengarah Urusan Malaysia TrendAI, Goh Chee Hoh berkata, organisasi tempatan kini sedang melancarkan AI lebih pantas daripada keupayaan mereka menguruskan risiko, sekali gus mewujudkan jurang yang luas antara cita-cita digital dan pengawasan.
“Hanya 29 peratus pemimpin perniagaan di Malaysia merasa yakin terhadap pemahaman mereka mengenai rangka kerja undang-undang yang mengawal selia AI.
“Jurang tadbir urus ini perlu dirapatkan segera dengan mewujudkan rangka kerja berpusat di mana akauntabiliti dan pengawasan risiko digabungkan ke dalam seni bina sistem syarikat,” katanya semasa taklimat media Ketersediaan vs Realiti: Mengapa Pengguna pakai AI Melangkaui Tahap Keselamatan, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Ancaman TrendAI, Ryan Flores berkata, keterdesakan ini telah mencetuskan isu ‘Shadow AI’, di mana pihak pengurusan hilang kawalan terhadap sistem AI yang digunakan oleh kakitangan dalam persekitaran kerja mereka.
Menurutnya, sejak pelancaran ChatGPT, terdapat lonjakan 1,000 peratus dalam emel sampah kerana AI memudahkan penjenayah siber menghasilkan kandungan serangan secara besar-besaran, memaksa pihak keselamatan turut menggunakan AI untuk menapis ribuan amaran setiap hari.
“Organisasi perlu peka terhadap apa yang didedahkan kepada AI. Tanpa kawalan, prom atau data sensitif yang dimasukkan oleh kakitangan seperti angka pendapatan atau maklumat peribadi boleh digunakan untuk melatih model AI pihak luar dan akhirnya terdedah kepada umum secara tidak sengaja.
“Fokus kami kini adalah ‘Mengamankan AI’ untuk merapatkan jurang tadbir urus ini. Kami membangunkan modul pengurusan identiti bagi mengawal siapa yang boleh mengakses AI tertentu, selain modul keselamatan data yang mampu mengimbas prom bagi menentukan sama ada maklumat sulit sedang dibocorkan,” katanya.
Mengulas mengenai Rang Undang-Undang AI yang dijangka dibentangkan di Parlimen Julai ini, Flores menasihatkan perniagaan agar tidak hanya bergantung kepada peraturan kerajaan semata-mata.
“Dasar kerajaan biasanya akan keluar paling akhir, kadangkala selepas jenayah berlaku. Memandangkan situasi ini sentiasa berkembang, organisasi perlu mendefinisikan garis panduan dan piawaian etika mereka sendiri sekarang mengikut kes penggunaan masing-masing.
“Menunggu peraturan rasmi hanya akan menyebabkan syarikat menggunakan garis panduan yang mungkin sudah ketinggalan zaman sebaik sahaja ia dilancarkan,” katanya. –UTUSAN










