Ke arah sistem kewangan Islam yang inklusif - Utusan Malaysia

Ke arah sistem kewangan Islam yang inklusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 Malaysia mempunyai dua sistem perbankan iaitu konvensional dan Islam. Secara faktanya, industri perbankan konvensional di Malaysia telah wujud dan bertapak lebih awal sebelum kemerdekaan. Namun, industri perbankan Islam pula hanya bermula apabila Bank Islam Malaysia Berhad dilesenkan untuk memulakan operasinya, pada 1983.

Semenjak industri perbankan Islam ini dibangunkan di Malaysia, antara strategi dan pendekatan yang diambil adalah untuk memastikan ia satu industri yang lestari, stabil dan berdaya saing. Oleh itu, mewujudkan satu sistem kewangan yang bermatlamatkan keuntungan merupakan salah satu fokus yang telah dilaksanakan.

Banyak inisiatif dan sumber telah disalurkan oleh pihak pemegang taruh untuk memberi ruang sewajarnya agar industri ini berkembang di atas landasan perniagaan yang kukuh.

Dengan sokongan ini, industri perbankan Islam di Malaysia telah berkembang dengan pesat dan telah menampakkan hasilnya. Buktinya boleh dilihat daripada Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2020 yang merekodkan antara lain, aset pembiayaan Islam telah mencecah sebanyak 41 peratus dari keseluruhan jumlah aset pembiayaan di Malaysia.

Kadar pertumbuhan tahunan aset pembiayaan Islam pula menunjukkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 8.5 peratus, berbanding pembiayaan konvensional yang hanya meningkat sebanyak 0.5 peratus pada 2020. Selain itu, jika dilihat daripada jumlah rasmi keahlian Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) yang terkini, terdapat sebanyak 26 institusi kewangan yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang ke arah pencapaian ini. Antaranya, proses penambahbaikan yang telah dilakukan secara berterusan dari tahun ke tahun, termasuk ke atas rangka kerja perundangan negara. Penambahbaikan ini bukan terhad kepada rangka kerja kawal selia dan perundangan khusus untuk industri kewangan, tetapi juga pindaan yang telah dibuat kepada undang-undang yang terpakai ke atas transaksi dan urus niaga kewangan Islam.

Peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan hartanah, kontrak, syarikat, percukaian dan prosedur mahkamah telah disemak dan diseragamkan untuk menyokong dan memudahcara urusniaga  kewangan Islam.

Proses ini harus dilakukan bagi memastikan daya saing industri kewangan Islam dan hak pengguna termasuk pendeposit, tidak terbatas atau terkesan disebabkan faktor perundangan. Selain itu, apa yang lebih penting  adalah untuk memastikan segala  urusniaga perbankan Islam ini menepati prinsip-prinsip syariah secara berterusan.

Perjalanan untuk membangunkan industri kewangan Islam di Malaysia yang lebih menyeluruh  masih perlu diteruskan. – GAMBAR HIASAN

Ini membolehkan Malaysia memastikan industri kewangan Islamnya mempunyai daya saing dan daya maju seiring dengan industri perbankan konvensional, di samping memastikan ciri-ciri khusus kewangan Islam terjaga dan terpelihara.  Hakikatnya, walaupun matlamat asas produk dan perkhidmatan perbankan yang ditawarkan oleh sistem perbankan Islam dan konvensional nampak serupa, ia adalah dua sistem yang berlainan.

Setelah wujud hampir 40 tahun, selain memenuhi keperluan masyarakat dalam menawarkan produk pembiayaan atau simpanan berlandaskan syariah, industri perbankan Islam juga telah berjaya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang dapat meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat terutamanya yang beragama Islam. Ia juga telah berjaya dizahirkan dan dibuktikan sebagai satu model perniagaan perbankan yang berupaya memberi pulangan mampan kepada pemegang sahamnya.

Namun, perjalanan untuk membangunkan industri kewangan Islam di Malaysia yang lebih menyeluruh masih perlu diteruskan. Di dalam laporan pertama Islamic Finance and Global Financial Stability yang diterbitkan hasil kerjasama tiga badan global iaitu Islamic Financial and Services Board (IFSB), Bank Pembangunan Islam (ISDB) dan Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI) pada 2010, ada menyatakan kepentingan peranan sektor kewangan Islam yang tidak bermatlamatkan  keuntungan (non-profit sector) melalui instrumen seperti zakat, wakaf dan sedekah. Sektor ini, yang kini dijenamakan sebagai sektor kewangan sosial Islam, berupaya menjadi pelengkap kepada sistem kewangan Islam sedia ada di Malaysia.

Jika sektor kewangan sosial ini cuba diterapkan di fasa awal pembentukan kewangan Islam di Malaysia, adalah lebih sukar untuknya mencapai potensi sebenar.  Akan tetapi dengan adanya industri perbankan Islam  yang  lebih kukuh dan stabil pada masa kini, inisiatif kewangan sosial Islam dapat diterapkan di dalam model perniagaan mereka.

Sebagai contoh, inisiatif Bank Islam untuk membangunkan Sadaqa House berlandaskan kepada konsep pengurusan sumbangan sedekah. Pengwujudan Sadaqa House adalah cetusan buah fikiran bekas Pengarah Urusan  pertama Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Dr. Abdul Halim Ismail pada 2014 dan dilancarkan pada 2018.

Usaha murni sebegini wajar diteruskan, dicontohi dan dilaksanakan oleh institusi perbankan Islam yang lain. Ia akan menjadikan industri kewangan dan perbankan Islam lebih utuh, lengkap dan inklusif serta dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Malah, gabungan model perbankan Islam sedia ada dan kewangan Islam sosial ini mampu mewujudkan satu model perbankan Islam baharu, yang akan dapat membezakannya dengan lebih jelas dan nyata daripada model kewangan dan perbankan konvensional. Tidak mustahil, di masa hadapan model kewangan sosial ini akan menjadi teras utama bagi industri perbankan Islam di Malaysia. Zaman beralih, musim berubah, sudah tiba masanya industri kewangan Islam mengorak langkah kehadapan.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×