Johor lancar Kempen Sekolah Selamat, tangani isu disiplin

Johor lancar Kempen Sekolah Selamat, tangani isu disiplin

AZNAN Tamin melawat reruai sempena Karnival Pendidikan Kerjaya Murid Peringkat Negeri Johor 2026 di Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor, Kota Tinggi, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan melancarkan Kempen Sekolah Selamat dalam memastikan masalah disiplin dalam kalangan pelajar berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, kempen yang akan dilancarkan minggu depan itu sebagai sokongan kepada Kempen Anti Buli yang telah dilancarkan tahun lalu bagi menjadikan sekolah sebagai tempat selamat buat pelajar menuntut ilmu.

Katanya, antara agensi terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam mendepani pelbagai isu yang berlaku membabitkan pelajar sekolah, JPNJ terpanggil mengadakan kempen ini bagi memastikan pelajar jelas bahawa sekolah bukanlah tempat untuk membuat aksi yang bukan-bukan.

“Kempen Sekolah Selamat ini bukan bersifat one-off sahaja, kita akan mengadakan beberapa aktiviti, program kesedaran sepanjang tahun membabitkan semua pelajar supaya mereka rasa selamat dan selesa di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya Murid Peringkat Negeri Johor 2026 di Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor, di sini hari ini.

Tambah Aznan, Kempen Anti Buli yang dilaksanakan tahun lalu menampakkan tanda positif setelah jumlah kes buli menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

“Alhamdulillah, isu-isu membabitkan kes buli di negeri ini sangat kurang berbanding dengan sebelum ini. Jadi, kita berterima kasih kepada semua pihak khususnya ibu bapa dan guru dalam menjayakan kempen itu,” katanya.

Sementara itu, Karnival Pendidikan Kerjaya Murid Peringkat Negeri Johor selama dua hari itu dihadiri seramai 12,000 pelajar dari seluruh negeri untuk mendapatkan pendedahan mengenai peluang melanjutkan pelajaran. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×