Masjid Mukim Permatang Sungkai jadi lokasi PdPR - Utusan Malaysia

Masjid Mukim Permatang Sungkai jadi lokasi PdPR

BERANDA Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir Puteh, Kelantan menjadi tumpuan penuntut universiti mendapatkan capaian internet untuk mengikuti kelas PdPR. UTUSAN/TOREK SULUNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKILAS pandang, saiz dan senibina Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir Puteh mungkin tidak gah sebagaimana masjid-masjid lain di Kelantan.

Selain itu, lokasinya pula agak terlindung kerana berada di ceruk kampung, iaitu kira-kira tiga kilometer dari jalan utama menuju ke pusat bandar.

Bagaimanapun, fungsi masjid ini melangkaui penampilan fizikalnya apabila sejak sekian lama menjadi pusat komuniti 2,000 penduduk di Kampung Permatang Sungkai dan Permatang Rambai.

Malah ketika sekatan pergerakan penuh atau total lockdown, Masjid Mukim Permatang Sungkai terus ‘hidup’ apabila menjadi tumpuan pelajar yang mahu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau kelas secara dalam talian.

Ini kerana berbanding di tempat-tempat lain, hanya sekitar masjid itu sahaja para pelajar dapat mengakses capaian internet yang cemerlang, iaitu syarat ‘wajib’ bagi membolehkan mereka mengikuti kelas dalam talian setiap hari.

Mengakui hakikat itu, pelajar jurusan kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Wan Jaizah Adirah Che Noh, 20, berkata, belajar di beranda masjid jauh lebih selesa berbanding di rumahnya.

“Sebelum ini saya membeli pelbagai kad sim syarikat telekomunikasi (telco), namun tiada satu pun dapat membantu saya mengakses internet dari rumah saya. Adakala saya terpaksa menghantar kerja kursus selepas keluar lima kilometer dari rumah.

“Syukurlah capaian internet di Masjid Mukim Permatang Sungkai agak cemerlang, sekali gus melancarkan urusan pembelajaran saya,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Imam Muda Masjid Mukim Permatang Sungkai, Azmi Hussin pula berkata, pihaknya memberi kebenaran kepada pelajar untuk berada di beranda masjid bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa.

AZMI Hussin bersama koleksi dokumentasi aktiviti masjid yang dipamerkan di sudut khas dalam Masjid Mukim Permatang Sungkai.

Katanya, dalam tempoh total lockdown kali ini, para pelajar diwajibkan mendaftar kehadiran selain dipantau rapi dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal

“Bagi mengelak masjid menjadi sesak atau dijadikan tempat melepak, pelajar diminta beredar dari lokasi itu sebaik sahaja mereka menyiapkan tugasan atau kelas dalam talian tamat.

“Setakat ini, peraturan ditetapkan bagi mengelak penularan pandemik Covid-19 ini dipatuhi sebaik mungkin semua pihak,” katanya.

Menurut Azmi, sebelum pandemik, Masjid Mukim Permatang Sungkai tidak pernah sunyi dengan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkannya setiap hari.

Kata beliau, selain solat jemaah, pengurusan masjid yang diterajui Imam Tua, Mohd. Rahim Jaafar giat melaksanakan program tambahan yang mencakupi pelbagai peringkat usia ahli kariah.

“Antaranya ceramah agama, program qiamullail, kelas mengaji, kursus-kursus kemahiran serta pelbagai aktiviti khidmat masyarakat.

“Malah pekarangan masjid juga menjadi lokasi penduduk beramah mesra sambil menikmati ikan dan ayam bakar beramai-ramai,” katanya.

Mencecah usia 42 tahun, sejarah Masjid Mukim Permatang Sungkai bermula hasil inisiatif Allahyarham Tok Yaacob yang ikhlas mewakafkan tanah miliknya seluas 0.1 hektar bagi membolehkan ia siap dibina pada 1979.

Ketika itu, masjid kayu tersebut hanya memiliki ruang solat bersaiz kira-kira 24.4 meter panjang dan 12.2 meter lebar.

Seiring dengan peredaran waktu, masjid itu dinaik taraf dengan binaan konkrit dan bagi menampung pertambahan bilangan jemaah, ruang solatnya turut diperbesar sehingga bersaiz 30.5 meter panjang dan 18.3 meter lebar.

KURSUS pengurusan jenazah melibatkan remaja turut diadakan di Masjid Mukim Permatang Sungkai.

Walau apa pun rupa bentuk binaan Masjid Mukim Permatang Sungkai, sama ada kayu atau konkrit, itu bukan lagi keutamaan penduduk di dua kampung itu.

Mereka sebaliknya bersyukur apabila keberkatan pembinaannya membolehkan masjid itu terus kekal menjadi rumah Allah serta pusat ilmu, sama ada untuk menadah kitab atau mengaji al-Quran, mahupun pendidikan moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×