Lelaki OKU lembam maut dipercayai dipukul

Lelaki OKU lembam maut dipercayai dipukul

MOHD. Yusoff Shafie (kiri) bersama rakannya menunjukkan lokasi penemuan mangsa di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini, semalam.

Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, dekat sini kira-kira pukul 12.45 malam tadi selepas bertarung nyawa lebih 17 jam.

Terdahulu, dia ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah di bahagiam muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan kejadian pada pukul 7.30 pagi, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.

Seorang penduduk, Mohd. Yusoff Shafei, 60, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada rakannya berhubung penemuan seorang lelaki yang dijumpai dalam keadaan terbaring berhampiran sebuah motosikal jenis Honda C70.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa sedang mengerang kesakitan.

“Saya terus menghubungi talian kecemasan selepas melihat keadaan mangsa yang kritikal. Melihat keadaan darah yang sudah beku pada mukanya, saya pada mulanya syak dia terlibat dalam kejadian langgar lari. 

“Lelaki itu bukan penduduk di kampung ini. Mungkin dia dibawa sebelum ditinggalkan di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini hari ini.

Mohd. Yusoff bekata, keadaan mangsa ketika seperti nyawa-nyawa ikan sebelum dibawa ke HPUSM untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendae Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×