RM3 juta perkukuh pembangunan sepak takraw negara

RM3 juta perkukuh pembangunan sepak takraw negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri), Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari (kiri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (kanan) dan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan (dua dari kanan) ketika bergambar selepas menyempurnakan gimik perasmian logo Akademi Sepak Takraw Malaysia pada Majlis Perasmian Kompleks Akademi Sepak Takraw di Stadium Jalan Raja Muda di sini, hari ini-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menerima peruntukan besar dari kerajaan sebanyak RM3 juta dalam usaha memperkukuh pembangunan dan penganjuran sukan tradisi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta disalurkan sebagai peruntukan khas bagi menjaga kebajikan pemain selain menyokong operasi (PSM) dan Akademi Sepak Takraw Malaysia.

“Sebahagian peruntukan ini adalah untuk memastikan kualiti latihan ditingkatkan termasuk aspek makan minum, keselesaan serta kelengkapan pemain.

“Selain itu, ia juga bagi menunjang perjalanan persatuan dan memperkukuh peranan akademi dalam melahirkan bakat baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini, hari ini.

Anwar berkata, gabungan peruntukan itu dilihat mampu memperkukuh struktur pembangunan sepak takraw negara secara lebih menyeluruh, khususnya dalam menyediakan ekosistem latihan yang lebih kondusif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Langkah tersebut juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan sukan tradisional itu terus kekal relevan dan mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari turut mengumumkan tambahan peruntukan RM1 juta bagi Geran Padanan Sukan (GPS) bagi penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di tanah air pada Mei ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×