Proton raih pensijilan ISO 50001:2018 daripada BSI

Proton raih pensijilan ISO 50001:2018 daripada BSI

PROTON Tanjung Malim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton mencatat satu lagi pencapaian penting dalam agenda kelestarian syarikat apabila menjadi pengeluar kereta penumpang pertama di Malaysia yang menerima pensijilan ISO 50001:2018 bagi Sistem Pengurusan Tenaga (EnMS). 

Pengiktirafan yang dianugerahkan oleh British Standards Institution (BSI) ini membuktikan komitmen Proton dalam meningkatkan kecekapan tenaga serta menyokong usaha negara ke arah masa depan rendah karbon.

Proton berkata, pensijilan berkenaan selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh amalan pengurusan tenaga menerusi Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga 2024 (EECA 2024). 

“Ia juga menyokong inisiatif nasional seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), selain aspirasi sifar bersih syarikat induk Proton, DRB-HICOM.

“Pengiktirafan kepada usaha kecekapan tenaga ini menunjukkan Proton telah membangunkan sistem pengurusan tenaga yang tersusun bagi memantau, mengawal dan menambah baik penggunaan tenaga secara berterusan di seluruh operasi syarikat,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Proton, pelaksanaan sistem ini melibatkan operasi pembuatan Proton termasuk kilang di Tanjung Malim, Perak yang mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 250,000 unit setahun. 

Katanya, dengan skala pengeluaran tersebut, penggunaan tenaga berkait rapat dengan jumlah kenderaan dihasilkan, menjadikan kecekapan tenaga bagi setiap unit sebagai fokus utama. 

“Walaupun penambahbaikan kecil dibuat bagi setiap kenderaan, kesannya mampu memberi impak besar kepada keseluruhan operasi.

“Melalui sistem ini, Proton menyasarkan peningkatan kecekapan tenaga sebanyak dua peratus setiap tahun, selaras dengan pertumbuhan pengeluaran dan matlamat kemampanan jangka panjang syarikat,” katanya. 

Proton berkata, usaha itu digerakkan menerusi pelan hala tuju tenaga berfasa di kilang Tanjung Malim yang merangkumi pelbagai inisiatif seperti pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) berskala besar, pendigitalan tenaga serta pemantauan masa nyata, penggunaan lampu LED, dan pengoptimuman sistem kipas dan penyejuk.

“Selain itu, program penjimatan tenaga turut dijalankan secara berterusan di kawasan pengeluaran seperti pengepresan, badan kenderaan, pengecatan, kemasan dan akhir (TF) dan pemasangan. 

“Menyokong pembangunan industri mampan negara pencapaian ini turut memperkukuh peranan Proton sebagai peneraju automotif nasional dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon,” katanya. 

Ketika Automotive High-Tech Valley (AHTV) berkembang sebagai hab pembuatan maju serantau, Proton terus menunjukkan bagaimana kelestarian boleh digabungkan dengan pertumbuhan industri.

“Pensijilan ini juga melengkapkan inisiatif terdahulu syarikat termasuk pemasangan kemudahan panel solar dwimuka terbesar di kawasan parkir di Malaysia di Proton Tanjung Malim pada 2021. Langkah itu mencerminkan usaha berterusan syarikat ke arah penggunaan tenaga lebih bersih dan operasi lebih bertanggungjawab,” katanya. 

Sehingga Disember 2025, kemudahan solar tersebut berjaya mengurangkan kira-kira 48,450 tan pelepasan karbon dioksida, bersamaan 10,500 kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dikeluarkan dari jalan raya Malaysia selama setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×