Hutan terpisah `susahkan' hidup haiwan - Utusan Malaysia

Hutan terpisah `susahkan’ hidup haiwan

Hutan yang terpisah antara satu sama lain akibat pembangunan termasuk pembinaan lebuh raya menyusahkan kehidupan haiwan sehingga tersesat masuk ke kawasan penempatan manusia. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saiz hutan yang tinggal 18 juta hektar atau kira-kira 55 peratus daripada litupan tanah di negara ini menimbulkan kegusaran akan terus menjejaskan habitat hidupan liar.

Perkara itu berlaku ekoran kerap kali binatang liar seperti harimau kumbang, gajah dan tapir ditemui mati atau berkeliaran di kampung-kampung.

Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengurus Pemuliharaan Habitat Harimau Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia), Christopher Wong berkata, jumlah hutan yang tinggal kini kurang mencukupi untuk hidupan liar terutama yang bersaiz besar seperti harimau dan gajah untuk merayau, mencari makanan dan juga mengawan.

Menurut beliau, saiz hutan yang mungkin boleh dikatakan agak besar tetapi masalahnya apabila hutan-hutan yang tinggal tersebut semakin terpisah antara satu sama lain berikutan dibangunkan.

“Pembangunan yang banyak memisahkan hutan-hutan ialah untuk pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan, lebuh raya, pembalakan, pembukaan hutan untuk dijadikan ladang komersial dan penempatan selain projek-projek pembangunan lain.

“Kawasan hutan terpisah dan semakin mengecil tidak dapat menampung atau menyusahkan populasi hidupan liar dari segi bilangan dan juga kesihatan genetik,” kata beliau di sini semalam.

Christoper berkata, kawasan hutan seperti Taman Negara dan Banjaran Titiwangsa harus dipelihara agar tidak mengecil selain usaha juga perlu dilakukan untuk menghubungkan hutan-hutan yang terpisah dengan kawasan hutan yang bersaiz besar.

Menurut beliau, masalah pemencilan dan pemisahan hutan turut membawa kepada masalah konflik haiwan dan manusia kerana ruang habitat binatang yang berkurangan itu menyebabkan hidupan itu berlegar-legar di kawasan penempatan manusia.

“Maka, Pelan Induk Central Forest Spine memberi kerangka bagaimana kawasan hutan yang terpisah atau hampir terpisah boleh disambung semula.

“Sebagai contoh kita boleh melihat bagaimana kompleks hutan Taman Negara yang meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan telah dipisahkan Banjaran Titiwangsa oleh lebuh raya Gua Musang-Kuala Lipis,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat usaha untuk menyambung semula kedua-dua landskap berkenaan melalui pembinaan jejambat dan penanaman semula pokok hutan di rangkaian Sungai Yu di Lipis.

Menurut Christoper, kebanyakan spesies hidupan liar juga terjejas disebabkan kehilangan habitat itu dan haiwan yang paling terancam pada kebiasaannya membabitkan spesies yang sering diburu untuk tujuan perubatan atau makanan eksotik.

“Antara spesies yang mengalami ancaman kepupusan ialah seperti harimau, seladang dan tenggiling. Malangnya badak sumbu telah pupus terus,” katanya.

Justeru, kata beliau, selain isu kedudukan hutan yang terpisah antara satu sama lain, pihak berkuasa juga perlu agresif menangani pemburuan haram yang turut menjadi faktor besar kepada kepupusan haiwan pelbagai spesies terutama membabitkan mamalia besar.

“Daripada data Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Malaysia kini ada kurang 200 ekor harimau. Jumlah itu sangat keci,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×