Tiga strategi menyeluruh untuk melindungi kehidupan rakyat

Tiga strategi menyeluruh untuk melindungi kehidupan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN gencatan senjata sementara melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS) diumumkan, namun, tiada siapa boleh meramal bila konflik di Asia Barat akan berakhir.

Namun begitu, walaupun mengambil kira senario terbaik, iaitu jangkaan peperangan di Asia Barat ini akan berakhir dalam masa terdekat, namun krisis tenaga global yang kita hadapi hari ini dijangka akan berterusan.

Bahkan, Ahad lalu, Presiden AS, Donald Trump memaklumkan Tentera Laut AS akan melaksanakan sekatan terhadap trafik maritim keluar masuk pelabuhan Iran susulan kegagalan rundingan damai dengan Tehran.

Ekoran tindakan itu, pastinya memberi kesan peningkatan harga barang secara menyeluruh, malah lebih teruk walaupun sudah dirasai sekarang.

Namun begitu, lebih membimbangkan adalah kombinasi inflasi global dan juga kelembapan dalam aktiviti ekonomi di seluruh dunia. Fenomena ini dipanggil sebagai stagflasi.

Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sudahpun mengeluarkan kenyataan memberikan amaran kepada keadaan stagflasi kepada ekonomi global jika gangguan bekalan tenaga akibat peperangan ini berterusan.

Pada ketika ini, asas kewangan ekonomi kita masih kukuh. Maksudnya, risiko kemelesetan ekonomi dan kenaikan inflasi secara mendadak masih rendah, malah pengangguran juga masih berada pada tahap guna tenaga penuh.

Kerajaan juga bersifat proaktif dalam memberikan maklum balas serta komunikasi yang berterusan kepada rakyat.

Pelbagai ikhtiar dan langkah sudahpun dilakukan kerajaan sejak peperangan ini bermula pada 28 Februari lalu. Pendekatan yang dilaksanakan dalam memperkenalkan langkah mitigasi serta praktikal oleh kerajaan dilihat berhati-hati, iaitu lebih bersifat bersasar, teratur dan juga berperingkat.

Ini disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, aspek ketidaktentuan dalam konflik ini, keadaan fundamental ekonomi yang kukuh dan juga hakikat Malaysia tidak hanya mengimport, malah juga mengeksport minyak.

 

KONFLIK Asia Barat yang mendorong krisis tenaga global boleh memberi kesan besar kepada ekonomi seperti kenaikan harga barang, inflasi dan risiko stagflasi.

Jadi, dengan jangkaan impak ekonomi yang berpanjangan, apakah langkah menyeluruh dan pencegahan awal untuk memastikan rakyat dapat menempuhi tempoh mencabar ini dengan sebaik mungkin? Ada tiga strategi yang boleh dipertimbangkan :

 

– Memperkenalkan moratorium bersasar

Ini terutamanya kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dijangka akan terjejas teruk, lebih-lebih lagi mereka yang berorientasikan import dan eksport selain mempunyai masalah dalam aspek aliran tunai perniagaan.

PMKS yang terlibat dalam rantaian makanan saya fikir perlu diberi perhatian. Selain daripada itu, moratorium kepada pengguna secara bersasar juga boleh diperkenalkan.

Pihak bank, mempunyai maklumat khusus berkaitan dengan pelanggan mereka, boleh memberikan moratorium kepada golongan yang mempunyai masalah kewangan dan beban pinjaman tinggi.

Moratorium bagi pihak PMKS dan juga individu yang dilihat ‘rapuh’ dari segi profil kewangan boleh diberikan dalam jangka masa tiga sehingga enam bulan bergantung keadaan dan risiko kewangan mereka.

Semasa program moratorium ini dilaksanakan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19, sistem dan institusi kewangan kita tidak terjejas secara ketara dan berada dalam keadaan yang baik.

 

-Melaksanakan pakej rangsangan secara bersasar

Satu lagi kesan buruk akibat stagflasi adalah pembuangan pekerjaan. Dalam hal ini, program subsidi upah boleh diperkenalkan secara bersasar. Melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), sesi libat urus secara khusus boleh dilakukan bersama dengan peniaga dan juga pemain-pemain industri yang terlibat untuk memastikan ralat kemasukan dan pengecualian dapat dielakkan apabila program subsidi upah bersasar diperkenalkan.

Penggunaan papan pemuka indikator ekonomi dan juga data berfrekuensi tinggi bagi setiap sektor membolehkan MTEN membuat keputusan secara lebih tepat berkenaan dengan kumpulan peniaga sasaran untuk diberikan subsidi upah.

Penting untuk melindungi golongan rentan dan B40. Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan juga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh diperkasakan dan ditingkatkan lagi kepada penerima.

Bagi program SARA untuk semua, mereka yang tidak menggunakan Baucar RM100 boleh dikecualikan.

Program Program Budi Madani RON95 (BUDI95) boleh disasarkan lagi, dengan pengecualian golongan T10. Misalnya, harga RON95 bersubsidi pula boleh dinaikkan ke RM2.05 contohnya, jika harga minyak global terus meningkat. Cadangan dari kerajaan untuk memperluaskan penggunaan MyKad kepada diesel juga adalah tindakan yang tepat.

Dari segi pengurusan dasar fiskal negara, kerajaan boleh melakukan pengubahsuaian belanjawan 2026 ataupun memperkenalkan belanjawan mini 2026. Ini pernah dilakukan pada Belanjawan 2016 dan juga Belanjawan 2009. Melaluinya, sasaran-sasaran makro yang diletakkan di bawah Belanjawan 2026 boleh juga disemak semula.

 

– Pelonggaran dalam dasar monetari negara di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia (BNM)

Dalam mendepani krisis tenaga global yang dijangka berpanjangan, kita memerlukan kedua-dua pendekatan berjimat cermat dan juga meletakkan wang ke dalam poket rakyat untuk memastikan aktiviti ekonomi domestik tidak terbantut.

Aktiviti perniagaan domestik juga perlu dirangsang secara berhemah. Jadi, pengurangan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam meningkatkan momentum permintaan juga boleh dipertimbangkan. Ini adalah kerana, jangkaan inflasi di masa hadapan adalah bukan disebabkan oleh permintaan tetapi lebih kepada faktor tolakan kos.

Oleh itu, meningkatkan OPR dalam masa terdekat untuk mengurus jangkaan inflasi bukanlah pilihan yang baik dalam ketika berlaku stagflasi.

Penurunan OPR sebanyak 25 mata asas boleh dipertimbangkan, lebih-lebih lagi jika jangkaan perang ini berlarutan sehingga memasuki separuh kedua tahun ini.

Apa yang penting, segala perancangan dan pengurusan ekonomi yang dibuat dalam mendepani impak konflik di Asia Barat ini mestilah menumpukan kepada usaha untuk melindungi kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Kita tidak mahu insiden mengangkat bendera putih, seperti berlaku pada era Covid-19 berulang dalam apa juga jangkaan senario mungkin timbul di masa hadapan akibat kesan peperangan yang berpanjangan. -UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin ialah Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi Dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×