BARU-BARU ini, beberapa bank seperti CIMB Bank dan Bank Muamalat menawarkan bantuan kewangan bersasar kepada pelanggan yang berdepan tekanan kewangan sementara susulan ketidaktentuan global, termasuk perkembangan di Asia Barat.
Namun persoalan yang timbul ialah sejauh mana rakyat benar-benar mendapat manfaat daripada inisiatif ini tanpa menambah beban kepada peminjam, sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang, di samping memastikan institusi kewangan terus kekal stabil tanpa menanggung kerugian.
Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, faktor utama bagi kejayaan bantuan ini adalah sifatnya yang bersasar dan tepat kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukannya diberikan secara umum.
“Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan ini sampai kepada golongan yang tepat. Ia mengawasi agar bantuan kewangan disasarkan kepada individu dan perniagaan yang terjejas, bukannya disalurkan kepada semua tanpa pertimbangan.
“Bagaimanapun, moratorium dan penyusunan semula pinjaman bukanlah penyelesaian jangka panjang. Ia hanya menangguhkan masalah sementara dan risiko meningkat apabila kadar faedah semasa tinggi, yang akhirnya memberi kesan negatif kepada peminjam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, golongan yang paling mendapat manfaat ialah pekerja berpendapatan rendah yang terjejas oleh kenaikan kos sara hidup, terutama di bandar.
“Walaupun begitu, masih terdapat kumpulan yang tercicir daripada sistem bantuan konvensional, memerlukan pemantauan lebih teliti,” katanya.
Dalam pada itu, ekonomi negara juga menghadapi risiko jika bantuan diteruskan terlalu lama.
“Tekanan kos sara hidup dan gaji rendah mendorong ramai pekerja berkemahiran berhijrah ke negara jiran seperti Singapura, yang menawarkan mata wang lebih tinggi.
“Selain bantuan kewangan, langkah mampan termasuk menyediakan modal dan ilmu untuk golongan berpendapatan rendah memulakan perniagaan sendiri serta program kerajaan seperti subsidi kos sara hidup (SARA) bagi mengurangkan kesan inflasi,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan menekankan bahawa bantuan mesti digunakan dengan betul dan rakyat perlu menyedari kepentingannya supaya tiada salah guna berlaku.
“Mekanisme pemantauan ketat diperlukan bagi memastikan dana sampai kepada golongan yang memerlukan dan menjadi pemangkin kepada kestabilan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, bantuan kewangan hanya memberi impak signifikan sekiranya disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kegagalan menepati sasaran boleh menyebabkan bantuan tersebut tidak memberi kesan bermakna kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan, BNM memainkan peranan penting dalam memantau pihak pemberi dan penerima bantuan agar selari dengan kelayakan yang ditetapkan.
“Selain itu, penilaian terhadap kos sampingan sesuatu bantuan juga perlu dilakukan bagi memastikan tiada implikasi negatif terhadap sistem kewangan negara,” katanya.
Mengulas langkah seperti moratorium dan penyusunan semula pinjaman, Mohd. Rizal berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar menangguhkan masalah, sebaliknya membantu menstruktur semula beban kewangan rakyat.
“Langkah ini dilihat amat relevan dalam suasana peningkatan kos sara hidup, terutamanya akibat kenaikan harga bahan api yang turut memberi kesan kepada kos bahan mentah dan harga barangan.
“Golongan berpendapatan rendah dikenal pasti sebagai penerima manfaat utama bantuan kewangan, dengan program seperti MyKasih dilihat berupaya membantu mengimbangi tekanan kos sara hidup.
“Namun, terdapat pandangan bahawa nilai bantuan perlu ditingkatkan agar lebih sejajar dengan realiti ekonomi semasa,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd.Rizal memberi amaran bahawa pelaksanaan bantuan kewangan secara berpanjangan boleh memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan.
“Bantuan bersifat langsung juga dilihat kurang produktif berbanding insentif tidak langsung seperti pelepasan cukai dan galakan pelaburan yang mampu merangsang aktiviti ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.
“Sebagai alternatif yang lebih mampan, cadangan penubuhan rangkaian kedai runcit mampu milik seperti RakyatMart dikemukakan, dengan kerjasama pemain industri seperti AEON Co. (M) Bhd., dan 99 Speedmart. Inisiatif ini berpotensi menyediakan barangan keperluan pada harga lebih rendah kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










