RIYADH: Serangan ke atas saluran paip Timur-Barat Arab Saudi menjejaskan sebanyak 700,000 tong sehari kapasiti minyak negara itu, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada eksport semasanya, menurut kenyataan kementerian tenaga.
Kenyataan itu merupakan pengesahan rasmi pertama selepas kemudahan tenaga Arab Saudi mengalami kerosakan akibat serangan Iran dan dibuat ketika rundingan damai berprofil tinggi di Islamabad, Pakistan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menemui jalan buntu.
“Serangan ini termasuk ke atas stesen pam di saluran paip Timur-Barat yang penting, menyebabkan kehilangan kira-kira 700,000 tong sehari aliran minyak melalui saluran tersebut, yang merupakan laluan utama untuk membekalkan pasaran global dalam tempoh ini,” kata kementerian tenaga.
Saluran paip Timur-Barat menjadi laluan kritikal bagi minyak Teluk selepas Iran menguasai Selat Hormuz dan mengehadkan pergerakan kapal melaluinya.
Saluran itu menghubungkan pantai Teluk Arab Saudi ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah. Bloomberg sebelum ini melaporkan saluran tersebut beroperasi pada kapasiti penuh tujuh juta tong sehari.
Kenyataan itu turut menyebut loji pemprosesan minyak Manifa dan Khurais sebelum ini turut menjadi sasaran. Serangan tersebut mengurangkan kapasiti pengeluaran sebanyak 600,000 tong sehari di kedua-dua medan itu.
Kerajaan turut memaklumkan bahawa serangan Iran turut mengenai kemudahan penapisan utama di Jubail, Ras Tanura, Yanbu dan Riyadh, sekali gus memberi kesan langsung kepada eksport produk petroleum bertapis ke pasaran global.
“Serangan berterusan ini menyebabkan kekurangan bekalan dan memperlahankan kadar pemulihan, menjejaskan keselamatan bekalan kepada negara pengguna serta meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran minyak,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Arab Saudi memilih berdiam diri mengenai serangan ke atas infrastruktur tenaganya.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan, dilaporkan mengadakan perbualan telefon pada Khamis dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Mohammad Ishaq Dar. Beliau turut berbincang melalui telefon dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Arab Saudi merupakan antara rakan paling rapat Pakistan, dan diplomat memaklumkan Islamabad mungkin tidak akan menawarkan diri sebagai pengantara tanpa sekurang-kurangnya mendapat persetujuan Riyadh.
Pada masa sama, Arab Saudi sebelum ini berdepan tekanan daripada Washington untuk menyokong perang AS-Israel terhadap Iran, dengan kerajaan itu dilaporkan bersetuju membenarkan penggunaan Pangkalan Udara Raja Fahd di barat negara itu.
Kerajaan itu turut menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara AS dan Iran minggu ini. Financial Times dan beberapa media lain melaporkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Kuwait terus berdepan serangan Iran, walaupun jumlahnya dilihat berkurangan sejak Khamis.










