BENTONG: “Saya jaga anak saya hampir 24 tahun bukan untuk diperlakukan begini, keadilan mesti ditegakkan.”
Demikian luah Rosafindi Tambi Chik, bapa kepada Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang meninggal dunia selepas parah dibelasah di Kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Pahang, Isnin lalu.
Rosafindi, 49, ketika ditemui di Hospital Temerloh semalam menyifatkan kejadian menimpa anaknya sebagai sesuatu yang tidak wajar berlaku dalam dunia ketenteraan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, kes tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia semalam.
Katanya, suspek sebelum ini dituduh di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.34 pagi sekali gus membawa kepada perubahan klasifikasi kes kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Permohonan bedah siasat sudah dibuat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa selain polis akan meneliti semula semua keterangan yang dirakam.
“Sekiranya perlu, polis akan memanggil semula saksi-saksi untuk rakaman percakapan tambahan,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada sebarang kompromi terhadap sebarang salah laku susulan insiden itu sehingga mengorbankan nyawa.
Katanya, sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti dan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kes berkenaan kini berada dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) memohon semua pihak menghormati perasaan serta privasi keluarga Allahyarham serta tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Jenazah Prebet Muhammad Amirul Raziq yang koma sejak 30 Mac lalu akibat dikasari oleh seorang anggota berpangkat koperal akan menjalani prosedur bedah siasat sebagai sebahagian daripada prosedur perubatan yang ditetapkan oleh Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.
“Selepas proses bedah siasat selesai, jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke Gemas, Negeri Sembilan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah, Gemas.
“Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman bersama seluruh warga TDM turut merakamkan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga Allahyarham serta menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan seorang anggota pasukan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Media sebelum ini melaporkan, rasa tidak puas hati terhadap kerja pembersihan stor senjata dilaporkan menjadi punca seorang anggota tentera parah dipukul di kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Pahang.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk tujuh anggota kem berkenaan di bahagian muka dan perut.-UTUSAN.











