CARACAS: Pembangkang Venezuela menggesa agar pilihan raya presiden diadakan selepas mendakwa tempoh sah selama 90 hari untuk mengisi jawatan yang dikosongkan itu tamat.
Parti Vente yang diketuai pemimpin pembangkang, Maria Corina Machado dalam satu kenyataan berkata, pilihan raya baharu perlu diadakan dalam tempoh 30 hari selepas pengisytiharan dibuat, susulan penangkapan Nicolas Maduro dalam operasi Amerika Syarikat (AS) pada 3 Januari lalu.
Bekas naib presiden, Delcy Rodriguez, mengangkat sumpah sebagai presiden sementara pada 5 Januari, dua hari selepas Maduro dibawa ke New York untuk menghadapi perbicaraan.
Maduro sebelum ini dilaporkan hadir ke mahkamah sebanyak dua kali bagi menjawab pertuduhan berkaitan kesalahan pengedaran dadah.
Perlembagaan Venezuela menyatakan ketiadaan sementara presiden republik hendaklah diisi oleh naib presiden eksekutif sehingga 90 hari, dan boleh dilanjutkan melalui keputusan Dewan Negara untuk 90 hari tambahan.
“Jika ketiadaan sementara berlanjutan lebih daripada 90 hari berturut-turut, Dewan Negara hendaklah memutuskan melalui undian majoriti sama ada ia perlu dianggap sebagai ketiadaan kekal,” menurut Artikel 234 Perlembagaan, yang dipetik oleh Vente.
Vente berkata, seluruh negara dan komuniti antarabangsa yang demokratik mengetahui dan boleh mengesahkan ketiadaan penuh Maduro daripada kuasa.
Langkah itu berlaku sehari selepas penunjuk perasaan yang menuntut kenaikan gaji bertempur dengan polis di pusat bandar Caracas, menandakan ketakutan yang sebelum ini menyelubungi masyarakat Venezuela di bawah Maduro mula berkurangan.
Parlimen Venezuela, yang mempunyai majoriti pro kerajaan, masih belum membincangkan isu mengadakan pilihan raya baharu.
Setakat ini, tumpuannya adalah terhadap usaha mengurangkan kawalan negara ke atas ekonomi bagi membuka jalan kepada lebih banyak pelaburan asing dalam sektor minyak dan perlombongan penting.- AFP










