WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat berikrar untuk memastikan Selat Hormuz dibuka dengan atau tanpa kerjasama Iran, sambil menegaskan keutamaan utama rundingan damai adalah memastikan Teheran tidak memiliki senjata nuklear.
Trump turut menghantar Naib Presiden, JD Vance, ke Pakistan bagi bertemu pegawai tertinggi Iran dalam usaha mencapai perjanjian damai susulan gencatan senjata selama dua minggu yang dipersetujui pada Selasa.
“Kita akan membuka Teluk itu dengan atau tanpa mereka… atau selat itu seperti yang mereka panggil. Saya rasa ia akan berlaku dengan cepat, dan jika tidak, kita akan mampu menyelesaikannya.
“Kita akan pastikan ia dibuka dalam masa terdekat,” kata Trump kepada wartawan ketika berlepas dari Washington untuk lawatan domestik.
Pembukaan semula Selat Hormuz, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah dunia, dijangka menjadi isu utama dalam rundingan damai di Islamabad.
Namun, apabila ditanya mengenai bentuk perjanjian yang dianggap baik, Trump berkata: “Tiada senjata nuklear. Itu 99 peratus daripadanya.”- AFP











