PETALING JAYA: UOB Malaysia mengumumkan komitmennya untuk menyokong pelanggan yang mungkin terkesan oleh perkembangan geopolitik semasa, termasuk situasi yang sedang berlaku di Asia Barat.
Sebagai rakan kewangan jangka panjang kepada isi rumah dan perniagaan di seluruh negara, bank tersebut kini memberi tumpuan kepada usaha menyokong kestabilan dan kesinambungan kewangan pelanggan dalam menghadapi perubahan persekitaran operasi.
UOB Malaysia mengakui bahawa peningkatan ketidaktentuan global berpotensi memberi tekanan kewangan kepada individu dan syarikat, sekali gus membawa kepada gangguan pendapatan sementara, kekangan aliran tunai atau aktiviti perniagaan yang lebih perlahan.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, tempoh ketidaktentuan seperti ini boleh menjejaskan isi rumah serta perniagaan dalam pelbagai cara yang berbeza.
“Melalui program bantuan pelepasan kewangan kami, kami bekerjasama rapat dengan pelanggan bagi menyediakan penyelesaian praktikal untuk membantu mereka menguruskan komitmen dengan penuh keyakinan.
“Ini membolehkan mereka terus memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting dalam kelangsungan hidup dan perniagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Langkah sokongan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan bank berkenaan dalam memastikan komuniti perniagaan dan individu di Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan dengan landskap ekonomi dunia yang semakin mencabar. –UTUSAN










