Jangan sampai dunia berhenti peduli tentang Gaza

Jangan sampai dunia berhenti peduli tentang Gaza

SEORANG lelaki cuba memadamkan kebakaran melibatkan kereta milik wartawan Palestin, Mohammed Washeha yang terkorban akibat serangan udara Israel di selatan Gaza City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, misi kemanusiaan ke Gaza sering menjadi perbualan hangat, termasuk penyertaan aktivis Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla ke wilayah terkepung itu.

Bagi misi kali kedua ini, ada suara-suara yang mempersoalkan ‘Buat apa nak pergi lagi? Dah tahu pun kapal akan dipintas, aktivis akan ditahan, malah ada yang dilayan dengan buruk oleh tentera Israel.’

Ada juga yang lebih sinis, menganggap misi sebegini sekadar cari publisiti. Pada pandangan mereka, semua ini tidak memberi kesan besar kerana sekatan terhadap Palestin masih tidak berubah.

Jadi, mereka rasa lebih baik fokus pada bantuan lain yang lebih selamat dan teratur.

Tapi kalau kita lihat dari sudut yang lebih luas, misi seperti ini bukan sekadar soal sampai atau tidak sampai bantuan. Ia sebenarnya tentang mesej solidariti, tentang suara yang dibawa ke pentas dunia.

Bila ada flotila, ada perhatian media. Bila ada perhatian, isu Gaza tidak tenggelam begitu sahaja.

Dan ini poin yang penting, kalau tiada misi seperti ini langsung, lama-lama dunia pun boleh jadi makin ‘lali’. Orang mula tak ambil tahu, berita makin kurang dan isu Palestin seolah-olah hilang dari radar global.

Bila itu berlaku, siapa yang akan terus bersuara? Risiko terbesar bukan sekadar kapal dipintas, tetapi dunia berhenti peduli.

Sebab itulah misi seperti ini masih dianggap relevan. Walaupun tahu risiko ditahan atau diperlakukan dengan buruk, aktivis tetap memilih untuk bergerak. Mereka bukan sekadar membawa bantuan fizikal, tapi membawa mesej bahawa rakyat dunia masih peduli.

Ini juga memberi tekanan moral kepada pihak yang melakukan sekatan supaya tidak boleh berbuat sesuka hati tanpa pemerhatian antarabangsa.

Organisasi seperti Freedom Flotilla Coalition pula sudah lama konsisten dalam usaha ini. Mereka bukan muncul bila tular sahaja, tetapi memang membawa agenda kemanusiaan dan hak asasi manusia.

Akhirnya, isu ini bukan hitam putih. Ya, risiko itu nyata, kemungkinan dipintas memang tinggi. Tapi dalam masa sama, tanpa usaha seperti ini, dunia mungkin perlahan-lahan berhenti cakna. Dan bila dunia senyap, penindasan boleh jadi lebih bebas tanpa perhatian.

Flotila bukan sekadar perjalanan laut sebaliknya ia simbol semangat untuk Palestin yang tidak mudah padam, seperti mana rakyatnya yang tidak pernah berputus asa mempertahankan tanah air daripada rejim Zionis.

Adlinahani Khalil adalah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×