AS akan bantu peningkatan trafik di Selat Hormuz - Trump - Utusan Malaysia

AS akan bantu peningkatan trafik di Selat Hormuz – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump hari ini mendakwa Amerika Syarikat (AS) akan membantu meningkatkan trafik perkapalan di Selat Hormuz.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump semalam bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran, kurang daripada dua jam sebelum tempoh akhir yang ditetapkannya untuk Teheran membuka semula selat berkenaan atau berdepan serangan ke atas infrastruktur awam.

Menurut Trump, perjanjian saat akhir itu tertakluk kepada persetujuan Iran untuk menghentikan sekatan terhadap bekalan minyak dan gas melalui laluan strategik tersebut, yang mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak global.

“Kami akan membawa masuk pelbagai jenis bekalan dan berada di sekitar kawasan bagi memastikan semua berjalan lancar.

“Banyak perkembangan positif akan berlaku. Keuntungan besar akan diraih. Iran boleh memulakan proses pembinaan semula,” kata Trump.

Dalam pada itu, Trump memberitahu AFP kononnya AS mencapai kemenangan menyeluruh dan sepenuhnya selepas bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran.

Penghentian sementara pertempuran serta pembukaan semula Selat Hormuz akan membolehkan pengeksport dari Asia Barat menghantar sejumlah besar minyak yang terperangkap di Teluk sejak konflik bermula.

Menurut data firma analitik Kpler, kira-kira 130 juta tong minyak mentah dan 46 juta tong bahan api ditapis kini berada di atas sekitar 200 kapal tangki di rantau berkenaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×