TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pihaknya menyokong keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menggantung serangan ke atas Iran namun menegaskan gencatan senjata saat akhir itu tidak melibatkan perang rejim Zionis itu menentang Hizbollah di Lubnan.
Washington dan Teheran bersetuju dengan gencatan senjata dua minggu, kurang sejam sebelum tarikh akhir Trump untuk memusnahkan Iran tamat.
Teheran berkata, ia akan menjamin laluan selamat bagi trafik maritim melalui Selat Hormuz selama dua minggu, sambil memaklumkan tempoh jeda itu akan digunakan untuk rundingan dengan AS bagi menamatkan perang. Rundingan dijadual bermula pada Jumaat di Pakistan.
“Israel menyokong keputusan Trump untuk menggantung serangan ke atas Iran selama dua minggu, tertakluk kepada Iran membuka selat dengan segera dan menghentikan semua serangan ke atas AS, Israel, serta negara-negara di rantau ini.
“Israel juga menyokong usaha AS untuk memastikan Iran tidak lagi menjadi ancaman nuklear, peluru berpandu dan keganasan kepada AS, Israel, jiran Arab Iran serta dunia,” katanya dalam kenyataan di laman X.
Namun kenyataan itu menyatakan gencatan senjata tidak termasuk Lubnan, bertentangan dengan pengumuman sebelum ini oleh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang bertindak sebagai mediator konflik.
Sharif berkata, AS dan sekutunya telah bersetuju dengan gencatan senjata di semua kawasan termasuk Lubnan, seolah-olah Israel bersetuju menghentikan pencerobohan ke atas jiran utaranya itu.
Lubnan terlibat dalam perang selepas kumpulan yang disokong Iran, Hizbollah, melancarkan tembakan roket ke arah Israel.
Serangan itu mencetuskan pencerobohan dan serangan udara Israel di seluruh Lubnan yang telah meragut lebih 1,500 nyawa, menurut pihak berkuasa.
Israel menggesa Trump menyertai perang menentang Iran, musuh ketatnya dan dalam serangan pertama pada Februari mengorbankan pemimpin tertinggi Iran yang lama berkhidmat, Ayatollah Ali Khamenei.-AFP










