PETALING JAYA: Oiltek International Ltd. (Oiltek) menandatangani Perjanjian Prinsip bagi membangunkan sebuah bio penapisan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) berskala besar bernilai AS$350 juta (RM1.65 bilion) di Sabah.
Perjanjian itu ditandatangani bersama BioSeaga Industries Sdn. Bhd. (BioSeaga) yang berpangkalan di Brunei dengan kemudahan tersebut dirancang mempunyai kapasiti pengeluaran awal sebanyak 300 tan metrik sehari.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Oiltek, Henry Yong Khai Weng berkata, projek berkenaan dijangka memperkukuh penglibatan kumpulan dalam rantaian nilai SAF yang berkembang pesat.
“Projek ini merupakan peluang strategik signifikan untuk kumpulan memanfaatkan keupayaan sedia ada dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
“Kumpulan juga mempunyai pengalaman relevan dalam rantaian nilai SAF, khususnya dalam pelaksanaan serta penyampaian pembangunan berskala besar yang berdaya komersial,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Oiltek Malaysia akan mempunyai hak penolakan pertama untuk menyertai sebarang pelaburan ekuiti, usaha sama atau peluang pemilikan berkaitan projek berkenaan termasuk bagi fasa seterusnya.
Fasa pertama projek tersebut dianggarkan bernilai AS$350 juta (RM1.65 bilion) dengan potensi pengembangan kepada bahan api termaju seperti hidrogen hijau serta derivatif tenaga rendah karbon lain pada masa hadapan.
Projek itu dijangka bermula pada suku keempat 2026.
Dalam pada itu, kemudahan berkenaan akan menggunakan Effluen Kilang Minyak Sawit (POME) dan Minyak Masak Terpakai (UCO) sebagai bahan mentah utama.
Direka sebagai biopenapisan pelbagai bahan mentah yang modular dan boleh diskala, projek itu bakal menjadi sebahagian daripada ekosistem SAF bersepadu merangkumi pengeluaran, pencampuran serta eksport.
Apabila siap, kemudahan itu dijangka meletakkan Sabah sebagai antara pusat pengeluaran SAF terbesar di rantau ini, sekali gus berpotensi berkembang menjadi hab global dalam menyokong usaha penyahkarbonan industri penerbangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Oiltek sedang merancang penyenaraian sekunder di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan telah melantik M&A Securities sebagai penasihat bagi pelaksanaan tersebut. – UTUSAN










