PETALING JAYA: AirAsia X Bhd. telah menaikkan tambang antara 30 peratus hingga 40 peratus susulan tekanan kos berikutan lonjakan harga bahan api jet.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Bo Lingam berkata, tanpa perlindungan lindung nilai bahan api, harga bahan api jet meningkat daripada sekitar AS$90 (RM363) setong sebelum konflik Asia Barat kepada kira-kira AS$200 (RM806.70) setong ketika ini.
“Caj tambahan bahan api iaitu yuran bagi mengimbangi kos bahan api jet meningkat kira-kira 20 peratus, manakala tambang keseluruhan naik antara 30 peratus hingga 40 peratus.
“Saya akan membayar apa sahaja harga pasaran yang ditetapkan. Tambang akan disemak secara berkala,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.
Beliau berkata, dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang berterusan serta gangguan rantaian bekalan, harga bahan api jet global telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding paras 2025.
“Sebagai langkah proaktif, kami melaksanakan penyesuaian tambang yang bersesuaian dengan teliti, termasuk caj bahan api di seluruh rangkaian.
“Kami turut mengoptimumkan rangkaian di mana ianya memperuntukkan semula kapasiti ke laluan permintaan tinggi serta memanfaatkan kesalinghubungan perkhidmatan Fly-Thru melalui Kuala Lumpur dan Bangkok untuk memenuhi permintaan dengan lebih cekap,” katanya.
Bo berkata, kumpulan itu juga sedang giat berunding dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan utama untuk mengekang kos di seluruh operasi.
“Dengan pengaktifan semula penerbangan secara berperingkat, kos seunit dijangka bertambah baik, manakala pengukuhan mata wang Asean bertindak sebagai penampan semula jadi terhadap perbelanjaan yang diterajui dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS).
“Kami kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan tahun hadapan, sambil terus memastikan perjalanan lebih mampu milik bagi para tetamu kami,” katanya.
Selain itu, AirAsia turut mengurangkan kapasiti bagi beberapa laluan serta menghentikan laluan yang tidak berprestasi, di samping melaksanakan pengoptimuman kos melalui peningkatan penggunaan pesawat dan pengurangan perbelanjaan sampingan.
Bagaimanapun, Bo berkata, permintaan terhadap penerbangan kekal kukuh, sekali gus menunjukkan penumpang masih mampu menampung kenaikan tambang tersebut.
Harga bahan api jet dilaporkan meningkat sehingga 140 peratus kepada melebihi AS$200 (RM806.63) setong bulan lalu susulan peningkatan konflik di Asia Barat.
Konflik itu turut menyaksikan serangan ke atas kemudahan minyak dan gas serta gangguan terhadap laluan perkapalan utama, khususnya di Selat Hormuz.
Sementara itu, Pengasas bersama dan Penasihat AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memberi jaminan kumpulan penerbangan itu mampu mengharungi krisis semasa berdasarkan pengalaman lalu.
“Kami telah melalui banyak perkara. Ini bukan sesuatu yang baharu bagi kami.
“Krisis Ukraine beberapa tahun lalu menyaksikan harga minyak mencecah AS$120 (RM483.97) setong, selain pandemik Covid-19 berdepan pada masa sama dan kami berjaya melaluinya,” katanya. – UTUSAN









