Proton catat rekod jualan eksport - Utusan Malaysia

Proton catat rekod jualan eksport

Saga antara model terlaris Proton di pasaran domestik dan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) mencatatkan jualan eksport tertinggi dalam tempoh 98 bulan pada Mei lalu meskipun berdepan penguatkuasaan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi bulan tersebut, Proton telah mengeksport sebanyak 669 buah kenderaan, catatan terbaik sejak Mac 2013.

Menurut Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu, sehingga penghujung Mei lalu, jumlah jualan kenderaan Proton adalah sebanyak 174 peratus daripada sasaran berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah itu hanya kurangan enam peratus berbanding keseluruhan jualan pada tahun lalu.

“Peningkatan jualan eksport Proton dipengaruhi oleh permintaan di pasaran tertentu, sesetengahnya adalah pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebagai contoh kata Steven, Pakistan adalah pasaran baharu bagi syarikat itu, tetapi dalam tempoh lima bulan pertama  tahun ini, negara itu merupakan pasaran eksport yang terbaik.

Tidak ketinggalan kata be liau, Alpha Ezz El-Arab, pengimport dan pengedar kereta Proton di Mesir, telah menjual 350  unit kereta Proton tahun ini, menduduki tempat kedua terbesar bagi pasaran eksport Proton.

Ini diikuti Brunei yang menjual kereta Proton sejak 1987, dengan pengimport Proton PAD Motors telah mencatatkan  jualan terbaik sejak penubuhannya.

“Pada permulaan tahun, perancangan bagi 2021 adalah untuk meningkatkan jualan eksport Proton secara agresif. Walaupun terdapat kekangan antarabangsa dan peningkatan kos penghantaran akibat wabak Covid-19, kami tetap yakin  akan mencapai sasaran kerana pelan jualan daripada pengimport dan kelebihan yang ada pada produk kami.

“Namun selepas lima bulan, kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding apa yang disasarkan, dan kami  berharap agar ia merupakan penanda bagi kejayaan berterusan tahun 2021,” kata beliau dalam kenyataan.

STEVEN XU

Steven berkata, dengan pertumbuhan jualan secara domestik yang meningkat, pemasangan model Proton di pasaran eksport juga amat penting bagi memastikan syarikat mampu mencapai sasaran jangka masa panjang.

Katanya, berikutan permulaan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya, Pakistan juga akan memulakan pemasangan tempatan.

“Jika segalanya berjalan dengan lancar, rakan kongsi kami di Pakistan, Al-Haj Automotive, akan memulakan operasi  pemasangan Proton Saga pada akhir Julai atau awal Ogos di kilang baharu mereka di Karachi.

“Pemasangan Proton X70 akan dijalankan kemudian sebagai tambahan kepada barisan pemasangan, dan kami menaruh  harapan tinggi yang mana perkembangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan di rantau Asia Selatan,”  tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×