Tiada pelucutan senjata selagi Israel tidak berundur dari Gaza - Utusan Malaysia

Tiada pelucutan senjata selagi Israel tidak berundur dari Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sayap bersenjata Hamas menolak desakan supaya kumpulan itu melucutkan senjata, sambil menyifatkan tuntutan berkenaan sebagai cubaan untuk Israel meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Jurucakap Briged Al Qassam, Abu Obeida berkata, sebarang perbincangan mengenai pelucutan senjata sebelum Israel melaksanakan sepenuhnya fasa pertama gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) adalah tidak boleh diterima.

Dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen pada Ahad, beliau menegaskan isu senjata tidak wajar dibangkitkan secara kasar atau tergesa-gesa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelucutan senjata Hamas kekal menjadi antara halangan utama dalam rundingan bagi melaksanakan pelan 20 perkara Presiden AS, Donald Trump, untuk menamatkan perang di Gaza.

Sejak gencatan senjata yang diusahakan AS dan Qatar berkuat kuasa pada Oktober, lebih 705 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel, menurut agensi berita Wafa.

Hamas memaklumkan kepada pihak pengantara pihaknya tidak akan membincangkan isu pelucutan senjata tanpa jaminan Israel akan berundur sepenuhnya dari Gaza, menurut tiga sumber kepada agensi berita Reuters minggu lalu.

“Perkara yang cuba dipaksakan oleh musuh ketika ini terhadap penentangan Palestin melalui pengantara saudara kami amat berbahaya,” kata Abu Obeida.

Beliau berkata, tuntutan pelucutan senjata itu ‘tidak lebih daripada cubaan terang-terangan untuk meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin, sesuatu yang tidak akan kami terima dalam apa jua keadaan’.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan itu merupakan penolakan rasmi terhadap pelan yang disokong AS, yang turut merangkumi tuntutan supaya Hamas melucutkan senjata.

Abu Obeida menggesa pengantara supaya menekan Israel agar memenuhi komitmennya di bawah fasa pertama pelan Trump sebelum sebarang perbincangan mengenai fasa kedua dapat dilakukan.

“Musuh adalah pihak yang menggagalkan perjanjian,” katanya.

Tiada sebarang komen segera daripada Israel berhubung kenyataan tersebut.

Obeida turut menyentuh peranan Israel dalam perang AS-Israel terhadap Iran, dengan mengutuk tindakan melancarkan serangan ke atas Iran di tengah-tengah helah rundingan, dengan pakatan dan konspirasi penuh bersama Washington.

AS sebelum ini terlibat dalam rundingan dengan Iran berhubung program nuklearnya dalam beberapa minggu sebelum AS dan Israel melancarkan perang pada 28 Februari.

Di Iran, lebih 2,000 orang telah terbunuh manakala sekurang-kurangnya 26,500 lagi cedera sejak perang bermula.

Abu Obeida turut mengutuk serangan baharu Israel terhadap Lubnan, yang dilancarkan pada 2 Mac selepas kumpulan bersenjata Lubnan, Hizbullah, menembak roket ke Israel.

Serangan Israel ke atas Lubnan mengorbankan lebih 1,400 orang dan menyebabkan lebih 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.

Obeida turut memuji Iran, Hizbullah dan kumpulan Houthi di Yemen atas serangan berterusan mereka terhadap Israel.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini