Trump arah DHS bayar gaji 35,000 kakitangan - Utusan Malaysia

Trump arah DHS bayar gaji 35,000 kakitangan

PEGAWAI polis Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menahan seorang lelaki di luar Bangunan Persekutuan Bishop Henry Whipple di Minneapolis, Minnesota.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) supaya membayar semua kakitangannya, selepas penutupan separa kerajaan berlarutan hampir 50 hari.

Memo presiden itu membolehkan lebih 35,000 pekerja di agensi termasuk FEMA, Pengawal Pantai serta Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA) menerima gaji, selepas mereka tidak dibayar sejak pembiayaan dihentikan pada 14 Februari.

Dalam memo kelmarin, Trump berhujah pembayaran baharu itu wajar kerana penutupan berterusan membentuk situasi kecemasan yang menjejaskan keselamatan negara, dan ribuan pekerja DHS yang menjalankan tanggungjawab keselamatan awam bergelut untuk menyara kehidupan mereka.

Beliau mengarahkan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Markwayne Mullin, serta Pengarah Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, Russell Vought, untuk menggunakan dana yang berkaitan dan munasabah dengan fungsi DHS.

Trump berkata, apabila pembiayaan penuh akhirnya diluluskan oleh Kongres, DHS perlu membuat penyelarasan ke atas akaun dalaman bagi memastikan operasi keseluruhan diteruskan seperti dirancang.

Trump pada Khamis lalu menyatakan hasratnya untuk memastikan semua pekerja DHS dibayar.

Beliau turut menandatangani memo sama minggu lalu yang mengarahkan DHS membayar pekerja Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), yang juga tidak menerima gaji, ketika penumpang menghadapi kelewatan ketara di lapangan terbang seluruh negara.

Bayaran bagi pekerja berkenaan mula dimasukkan ke akaun bank mereka minggu ini.

Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) serta Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) menerima pembiayaan sepanjang penutupan itu melalui dana daripada rang undang-undang yang ditandatangani Trump tahun lalu.

Trump berulang kali menyalahkan penutupan separa kerajaan kepada pihak Demokrat yang menuntut perubahan ketara dalam taktik penguatkuasaan imigresen sebelum menyokong rang undang-undang yang akan membiayai sepenuhnya DHS.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×