WASHINGTON: Rumah Putih memohon peruntukan sebanyak AS$152 juta (RM612.7 juta) bagi mengaktifkan semula penjara pulau terkenal, Alcatraz, pada Jumaat.
Langkah itu merupakan susulan kepada cadangan Presiden Donald Trump tahun lalu untuk mengubah fungsi destinasi pelancongan popular di Teluk San Francisco itu.
Permohonan tersebut terkandung dalam cadangan bajet yang dikemukakan oleh Rumah Putih bagi membiayai kerajaan bagi tahun fiskal 2027.
Bagaimanapun, permohonan perbelanjaan sedemikian lazimnya dianggap oleh penggubal undang-undang di Kongres sebagai cadangan sahaja.
Bajet itu memohon dana untuk Biro Penjara Persekutuan bagi menampung kos tahun pertama membina semula Alcatraz menjadi fasiliti penjara keselamatan canggih.
Penjara tersebut ditutup pada 1969 dan selama ini berada di bawah seliaan Perkhidmatan Taman Negara.
Mei lalu, Trump mengumumkan melalui media sosial bahawa beliau sedang mengarahkan Biro Penjara, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) dan agensi lain untuk membuka semula Alcatraz yang telah diperbesar dan dibina semula secara besar-besaran, bagi menempatkan pesalah paling kejam dan ganas di AS.
Alcatraz, yang mula dibuka pada 1934, pernah diiktiraf sebagai penjara paling selamat di AS memandangkan lokasinya di sebuah pulau yang dikelilingi air sejuk membeku serta arus laut yang sangat kuat.
Secara rasminya, tiada rekod banduan yang berjaya melarikan diri dari penjara itu, walaupun lima banduan disenaraikan sebagai hilang dan dipercayai lemas.
Sebelum ditutup, ia pernah menempatkan penjenayah terkenal seperti Al Capone dan James “Whitey” Bulger.
Laman web Biro Penjara menyatakan bahawa ia ditutup dahulu kerana kos operasinya yang terlalu tinggi, di mana ia hampir tiga kali ganda lebih mahal untuk dikendalikan berbanding mana-mana penjara persekutuan yang lain.- AGENSI










