PETALING JAYA: Pemain hartanah korporat (CRE) di Malaysia kini mengambil langkah lebih berhati-hati dengan mengutamakan pengoptimuman ruang dan pengurangan kos jangka panjang susulan prospek ekonomi global yang semakin mencabar bagi separuh pertama 2026.
Menerusi laporan Knight Frank (Y) OUR SPACE Horizon Separuh Pertama 2026, kira-kira 70.8 peratus responden bersetuju bahawa mereka perlu mengimbangi antara langkah penjimatan dan pertumbuhan dalam pelan hala tuju tahun ini bagi mendepani tekanan transformasi.
Pengarah Eksekutif Kanan Strategi dan Solusi Pejabat Knight Frank Malaysia, Teh Young Khean berkata, sentimen bagi pengembangan ekonomi global tahun ini dilihat lebih lemah dengan 38.5 peratus responden menyifatkan prospek semasa sebagai lembap.
“Bagi pemain CRE di Malaysia, ini bermakna mereka perlu memacu kemajuan secara dalaman dengan mengutamakan perbelanjaan modal (capex) untuk hasil yang mampu membiayai transformasi atau mengurangkan risiko kos jangka panjang.
“Ini adalah peluang untuk pengimbangan semula dan pengoptimuman melalui penentuan saiz ruang yang tepat dengan niat yang jelas,” katanya dalam kenyataan.
Laporan itu turut mendedahkan peralihan paradigma di mana organisasi kini lebih mengutamakan prestasi kerja berbanding kehadiran fizikal di pejabat.
Hampir separuh atau 43.1 peratus responden kini lebih memfokuskan kepada hasil pembelajaran, program kohort dan hubungan mentor.
Sementara itu, Ketua Perwakilan Tuan Tanah, Strategi dan Solusi Pejabat Knight Frank Malaysia, Kamini Palany berkata, penyewa kini berusaha untuk mendapatkan hasil maksimum daripada jumlah ruang yang sama sambil menguruskan kesejahteraan tenaga kerja.
“Produktiviti dan kecekapan akan mendominasi strategi organisasi apabila firma mula mengutamakan pengoptimuman operasi secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dijangka akan mula diserapkan secara selektif ke dalam aliran kerja teras pada 2026.
Di Malaysia, kira-kira 56 peratus majikan mengekalkan tahap tenaga kerja sedia ada dengan penggunaan AI lebih tertumpu kepada tugas pentadbiran dan sokongan perniagaan buat masa ini.
Meskipun terdapat pengurangan dalam selera capex secara keseluruhan, aspek kelestarian kekal menjadi pengecualian utama.
Kira-kira 36.7 peratus penyewa menjangkakan peningkatan bangunan berstatus hijau dalam portfolio mereka dalam masa terdekat bagi memenuhi tuntutan kawal selia.
Ketua Perwakilan Penyewa, Strategi dan Solusi Pejabat Knight Frank Malaysia, Naythan Chong berkata, faktor bekalan tenaga yang selamat dan boleh skala akan menjadi penentu utama dalam pemilihan tapak pelaburan pada masa hadapan.
“Setiap projek perbelanjaan modal akan dinilai berdasarkan ‘peraturan tiga hasil’ iaitu pengurangan kos, daya tahan atau pembinaan keupayaan. Kelulusan projek hanya akan diberikan sekiranya ia memenuhi kriteria tersebut secara eksplisit,” katanya. – UTUSAN










