PETALING JAYA: Malaysia mengalu-alukan pelaburan yang membawa teknologi baharu dan menjalinkan kerjasama dengan pemain tempatan bagi mengukuhkan keupayaan ekosistem automotif negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pemain tempatan sangat berkemampuan dan bersedia untuk menghantar komponen automotif, selain dapat membina rantaian bekalan yang lebih kukuh dan selamat daripada kelewatan global.
“Pelaburan sedemikian bukan sahaja menyumbang kepada penghasilan produk dan penerokaan pasaran baharu, malah memperkasa kepakaran kejuruteraan, keupayaan pembekal serta pembangunan bakat mahir bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang industri.
“Pada masa sama, kerajaan kekal komited memastikan sektor automotif Malaysia berkembang secara sihat dan berdaya saing,” katanya pada majlis pelancaran kenderaan elektrik vateri (BEV) UMW Toyota Motor (UMWT).
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia kini melangkaui fasa penerimaan awal ke arah pertumbuhan lebih mampan dalam mobiliti elektrifikasi dengan jumlah kenderaan elektrik (EV) di jalan raya mencecah kira-kira 45,000 unit pada masa ini.
Katanya, angka itu menunjukkan peningkatan signifikan berbanding hanya 55 unit pada 2020, sekali gus mencerminkan evolusi berterusan sektor automotif negara.
Menurut beliau, berdasarkan Jumlah Volum Industri (TIV) sebanyak 820,752 unit pada 2025, kenderaan elektrik kini merangkumi sekitar 5.5 peratus daripada jumlah pendaftaran kenderaan baharu.
“Infrastruktur pengecasan juga terus berkembang dengan lebih 5,000 titik pengecas awam tersedia di seluruh negara, manakala sasaran nasional sebanyak 10,000 pengecas sedang giat dilaksanakan.
“Bagi Malaysia, transformasi ini membuka peluang serta tanggungjawab untuk memastikan negara kekal berdaya saing seiring evolusi industri.
“Ini termasuk memperkukuh keupayaan ekosistem tempatan, membangunkan tenaga kerja mahir bagi teknologi maju serta memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi,” katanya.
Dalam majlis itu, UMWT memperkenalkan tiga model kenderaan elektrik bateri (BEV) iaitu Toyota bZ4X, Urban Cruiser dan Hilux BEV, sekali gus memperluaskan portfolio mobiliti elektrifikasinya.
Model utama yang diperkenalkan ialah Toyota bZ4X, sebuah SUV elektrik sepenuhnya yang dibangunkan berteraskan falsafah ‘Beyond Zero’ dengan harga bermula RM220,000.
Model tersebut menawarkan prestasi BEV yang dipertingkat melalui kecekapan kuasa serta kapasiti bateri lebih baik, sekali gus membolehkan jarak pemanduan sehingga kira-kira 480 kilometer.
Selain itu, Hilux BEV turut diperkenalkan, sekali gus membawa elektrifikasi ke dalam segmen pikap Toyota dengan harga bermula RM226,300.
Model itu merupakan pikap BEV global pertama Toyota untuk pasaran runcit dan direka bagi memenuhi keperluan sektor yang menitikberatkan ketahanan serta kebolehpercayaan.
Melengkapkan barisan ialah Urban Cruiser, sebuah SUV elektrik kompak yang direka untuk gaya hidup bandar moden dengan harga bermula RM198,000. – UTUSAN










