PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar menilai semula projek naturalisasi kerana ia gagal memberi impak kepada Harimau Malaya dalam tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.
Meskipun berjaya meraih kemenangan 1-0 dalam aksi terakhir menentang Thailand dan menghidupkan peluang ke saingan Piala Asia 2023, namun kehadiran pemain naturalisasi tidak begitu menyerlah seperti yang diharapkan.
Bekas pengendali Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah berkata, pemain naturalisasi yang ada di dalam pasukan Harimau Malaya boleh dikatakan bukan sesuatu yang diperlukan kerana mereka tiada memberi sebarang sumbangan besar seperti yang diharapkan.
Katanya, kehadiran pemain-pemain muda dalam pasukan kebangsaan lebih ideal kerana mereka menunjukkan kesungguhan dan boleh memberikan impak seperti yang diharapkan.
“Pemain naturalisasi yang kita ada ini bukan material yang kita harapkan, mereka ini pun dah senja, jadi boleh saya katakan projek ini gagal.
“Saya harap pengurusan akan ambil maklum dan belajar daripada kesilapan ini. Saya juga berharap pasukan teknikal akan memberi nasihat kepada jurulatih Tan(Cheng Hoe) untuk membuat penilaian pemain.
“Saya yakin akan berlaku rombakan pemain selepas ini untuk saingan Piala Asia dan saya berharap pemain-pemain negara yang sebelum ini cedera akan kembali cergas untuk berada dalam pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.











