KUALA NERUS: Seorang pelajar tahfiz membuktikan kecemerlangan dalam akademik dan hafazan mampu bergerak seiring apabila memperoleh keputusan cemerlang 12A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin.
Muhammad Nazirul Mubin Mohd. Yusof, 18, dari Sekolah Menengah Imtiaz YT Dungun, dekat sini turut mengukir kejayaan apabila menghafaz al-Quran sejak berada di tingkatan dua.
Katanya, kejayaan itu adalah hasil disiplin tinggi, fokus ketika pembelajaran dan amalan berkongsi ilmu bersama rakan-rakan.
“Saya memberi sepenuh perhatian ketika guru mengajar dan memilih duduk di barisan hadapan supaya dapat mendengar dengan lebih jelas serta kekal fokus.
“Untuk memastikan ilmu lebih mudah diingati, saya membuat latihan menggunakan buku aktiviti yang disediakan guru,” katanya di sini.
Menurut Muhammad Nazirul Mubin, dia menjadikan amalan membantu rakan-rakan sebagai kaedah ulang kaji yang berkesan.
“Kebiasaannya ketika waktu persediaan, rakan-rakan berkumpul untuk bertanya soalan yang tidak difahami kepada saya. Secara tidak langsung, saya mengulang kaji semula topik tersebut apabila mengajar mereka,” ujarnya.
Nazirul Mubin percaya kejayaannya turut didorong oleh doa ibu bapa, guru serta rakan-rakan.
“Kadangkala doa hadir dalam bentuk yang tidak disedari. Contohnya apabila rakan-rakan bergurau memanggil saya ‘straight A+, straight A+’. Walaupun nampak ringkas, saya anggap ia satu doa,” katanya yang tinggal di Paka, Dungun.
Nazirul Mubin berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik dan bergelar jurutera.
Dalam peperiksaan tersebut, dia memperoleh 12A+ bagi semua subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Hifz al-Quran dan Maharat al-Quran. – UTUSAN










