PETALING JAYA: Ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak pada petang ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ribut petir diramal berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang dan Melaka.
“Keadaan sama turut dijangka melanda kawasan pedalaman di Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, negeri lain seperti Perlis, Kelantan dan Terengganu dijangka kekal tanpa hujan dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, di Sabah, ribut petir diramal berlaku di beberapa tempat melibatkan kawasan Pedalaman dan Tawau.
“Hujan juga dijangka melanda beberapa kawasan di Pantai Barat dan Sandakan, manakala Kudat serta Labuan kekal tanpa hujan,” katanya.
Di Sarawak pula, ribut petir dijangka berlaku di hampir semua bahagian termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Menjelang malam, MetMalaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Melaka serta kawasan pedalaman Perak dan Negeri Sembilan.
“Bagi Sabah, ribut petir dijangka di Pedalaman dan Labuan, manakala Sarawak melibatkan kawasan seperti Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya.
Suhu di Kuala Lumpur hari ini dijangka mencecah tahap maksimum 34 darjah Celsius dengan suhu minimum sekitar 24 darjah Celsius.
Menurut MetMalaysia, keadaan angin di perairan negara dilaporkan bertiup antara 20 hingga 30 kilometer sejam (kmsj).
“Ketinggian ombak di kawasan perairan pula dilaporkan berada pada tahap sederhana iaitu antara 1.0 hingga 1.5 meter,” katanya. – UTUSAN











