Rayuan NGO cabar penyahwartaan Bukit Cherakah ditolak - Utusan Malaysia

Rayuan NGO cabar penyahwartaan Bukit Cherakah ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar penyahwartaan Bukit Cherakah sebagai hutan simpan.

Dua NGO terbabit ialah Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF).

Keputusan itu dibuat secara majoriti 2-1 dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang menolak rayuan berkenaan, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Lee Swee Seng menyatakan pendirian berbeza.

Keputusan itu sekali gus bermakna permohonan semakan kehakiman berhubung isu penyahwartaan Bukit Cherakah tidak akan diteruskan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022 menolak permohonan kedua-dua NGO bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang menyahwartakan 406.22 hektar kawasan hutan simpan Bukit Cherakah.

Pada 24 Januari 2024, Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan tersebut atas alasan ia difailkan di luar tempoh yang dibenarkan.

NGO berkenaan kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan dan pada 9 September tahun sama, mahkamah membenarkan permohonan mereka untuk merayu.

Dalam hujahan, NGO terbabit mendakwa tindakan Kerajaan Selangor membatalkan warta adalah menyalahi undang-undang memandangkan keputusan penyahwartaan dibuat pada 20 November 2000, namun hanya diwartakan pada 5 Mei 2022, iaitu hampir 22 tahun kemudian.

Menerusi permohonan itu, mereka menamakan Kerajaan Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden ialah YCH Development Sdn. Bhd., Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Restu Mantap Sdn. Bhd.

Dalam prosiding, NGO itu diwakili peguam Rajesh Nagarajan, Datuk Gurdial Singh Nijar dan Amanda Sonia Mathew, manakala kerajaan negeri dan agensi terlibat diwakili Hani Aziza Ismail @ Aziz serta Mary Phoon Keat Mee.

Peguam Ng Ka Choon dan Low Jiah Yee mewakili YCH Development, manakala Ganapathi Ramasamy mewakili Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×