Pelakon berpengalaman, Riezman Khuzaimi, berkongsi pandangan terbuka mengenai perbezaan ketara antara pengarah lama dan pengarah generasi baharu dalam industri perfileman tempatan, sekali gus mencetuskan satu perspektif menarik tentang hala tuju seni kreatif negara.
Menurut Riezman, perubahan zaman bukan sahaja mempengaruhi gaya penceritaan, malah turut mengubah pendekatan teknikal dan cara kerja di set penggambaran.
Katanya, pengarah lama sememangnya memiliki pengalaman yang luas, namun cabaran utama yang dihadapi adalah untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa, khususnya dalam memahami kehendak penonton generasi baharu.
“Kalau kita tengok pengarah lama, mereka ini bukan tak ada idea, tetapi kadang-kadang mereka sukar untuk menangkap rentak idea baharu yang datang daripada generasi sekarang.
Dunia dah berubah, cara penonton melihat sesuatu karya pun dah berubah. Kalau pengarah itu tidak berada dalam lingkungan atau tidak bercampur dengan generasi muda, memang agak susah untuk dia faham apa yang sebenarnya penonton muda mahukan hari ini,” katanya.
Tambahnya lagi, pengarah muda pula hadir dengan tenaga dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan, meskipun ada dalam kalangan mereka yang masih kurang pengalaman.
“Pengarah muda ini kelebihan dia jelas, mereka lebih berani, lebih segar dari segi idea dan lebih dekat dengan jiwa generasi sekarang. Tetapi dalam masa sama, mungkin pengalaman mereka belum cukup matang.
“Jadi di sinilah pentingnya gabungan antara dua generasi ini. Pengarah muda boleh belajar daripada pengalaman pengarah lama, manakala pengarah lama pula boleh menyerap idea dan teknik baharu daripada yang muda,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Riezman menegaskan bahawa perbezaan antara kedua-dua generasi ini bukanlah satu bentuk persaingan, sebaliknya perlu dilihat sebagai peluang untuk saling melengkapi.
“Bagi saya, ini bukan soal siapa lebih hebat. Ini soal bagaimana kita boleh gabungkan kekuatan masing-masing. Pengarah lama ada kekuatan dari segi penceritaan yang lebih mendalam, pengalaman mengendalikan pelbagai situasi, manakala pengarah muda pula ada kelebihan dari segi teknikal, tenaga dan keberanian mencuba benda baharu. Kalau dua-dua ini digabungkan, saya percaya kita boleh hasilkan karya yang jauh lebih berkualiti,” jelasnya.

Dalam masa sama, dia turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan kru produksi yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda, yang pada awalnya menimbulkan sedikit keraguan dalam dirinya.
“Pada mula saya datang ke set, saya tengok semua muda-muda. Pengarah muda, kru pun muda. Saya akui, dalam hati ada rasa tertanya-tanya, boleh ke mereka ini? Tetapi bila kita dah mula bekerja, satu demi satu babak, saya nampak sesuatu yang berbeza.
Cara mereka fikir, cara mereka ambil shot, sudut kamera, semuanya segar. Ada benda yang saya sendiri tak terfikir sebelum ini. Dari situ saya sedar, mereka ini memang ada kelebihan tersendiri,” katanya.
“Selain itu, Riezman juga tidak menafikan faktor tenaga memainkan peranan penting dalam dunia pengarahan, terutama melibatkan penggambaran aksi yang memerlukan stamina tinggi.
“Kalau kita bercakap soal tenaga, memang tak boleh nafikan pengarah muda ada kelebihan. Pengarah yang berusia mungkin masih mampu bekerja hingga lewat malam, tetapi selepas satu tahap, prestasi akan menurun.
“Berbeza dengan yang muda, mereka boleh teruskan dengan konsisten. Ini realiti yang kita kena terima. Sebab itu dalam babak aksi misalnya, kadang-kadang perlu ada pengarah aksi atau tenaga muda untuk bantu,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Riezman turut menekankan bahawa penonton masa kini semakin bijak dan dahagakan kelainan, bukan sekadar jalan cerita semata-mata.
“Sekarang ini penonton bukan hanya tengok cerita, tetapi mereka tengok bagaimana cerita itu disampaikan. Teknik, visual, cara penggambaran, semuanya memainkan peranan. Cerita lama pun boleh jadi menarik kalau diolah dengan teknik baharu. Tapi kalau kita ulang benda yang sama tanpa pembaharuan, penonton akan cepat bosan,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Riezman berharap agar lebih ramai pengarah tempatan bersedia untuk berkolaborasi demi menghasilkan karya yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.










