Pupuk semangat muhibah dalam kalangan rakyat

Pupuk semangat muhibah dalam kalangan rakyat

RAKYAT perlu memupuk perpaduan melalui sikap, tutur kata dan tindakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA dikenali sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Masyarakat Melayu, Cina, India serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak hidup bersama dalam sebuah negara.

Kepelbagaian ini sebenarnya menjadi kekuatan besar jika rakyat mengurusnya dengan sikap hormat, toleransi dan saling percaya. Namun, jika nilai tersebut diabaikan, perbezaan boleh mencetuskan salah faham dan perpecahan.

Sejarah pembentukan negara membuktikan semangat muhibah menjadi asas kepada keharmonian Malaysia.

Pemimpin pelbagai kaum pada masa lalu memilih jalan rundingan dan persefahaman demi mencapai kemerdekaan.

Mereka meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kaum. Hasil kesepakatan itu, rakyat pelbagai bangsa bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan seterusnya membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Semangat kerjasama inilah yang membina asas perpaduan yang kita nikmati hingga hari ini.

Beberapa prinsip penting dijadikan asas kestabilan negara dalam proses membina negara bangsa.

Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, namun agama lain bebas diamalkan dengan aman. Bahasa Melayu pula menjadi bahasa kebangsaan dan berperanan sebagai bahasa penyatuan rakyat. Pada masa yang sama, institusi beraja terus menjadi lambang kedaulatan negara, manakala Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak, di samping melindungi hak sah kaum lain.

Namun, sejarah juga mengingatkan kita bahawa perpaduan tidak boleh dipandang ringan. Tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 menjadi peringatan pahit tentang betapa rapuhnya keharmonian jika rakyat gagal mengawal emosi dan menghormati antara satu sama lain.

Oleh sebab itu, rakyat perlu menghayati sejarah secara matang. Kita harus memahami pengorbanan generasi terdahulu yang berusaha membina negara ini dengan semangat toleransi dan kebersamaan.

Penghayatan sejarah membantu masyarakat menghargai perpaduan serta mengelakkan kesilapan yang sama berulang pada masa hadapan.

Selain itu, rakyat perlu mengamalkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian. Lima prinsip tersebut bukan sekadar slogan tetapi panduan untuk membentuk masyarakat yang berdisiplin, menghormati undang-undang dan mengutamakan kepentingan bersama.

Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan misalnya, mengajar rakyat menjaga tutur kata, menghormati adat dan tidak menyinggung sensitiviti kaum atau agama lain, termasuk di ruang digital.-UTUSAN

MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Mahasiswa Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN