Ekonomi Malaysia diunjur 4% hingga 5% pada 2026 - BNM

Ekonomi Malaysia diunjur 4% hingga 5% pada 2026 – BNM

ABDUL RASHEED GHAFFOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2026 meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar dan tidak menentu.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, negara memasuki tahun ini dengan asas ekonomi yang kukuh untuk mendepani pelbagai cabaran.

Beliau berkata, kekuatan tersebut disokong pemacu pertumbuhan yang pelbagai, kedudukan kewangan isi rumah dan syarikat yang sihat, sektor kewangan yang berdaya tahan serta ruang dasar makroekonomi yang mencukupi.

“Berdasarkan faktor ini, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun ini.

“Penggunaan isi rumah kekal sebagai tunjang utama pertumbuhan, disokong prospek pendapatan yang positif. Pasaran buruh juga dijangka stabil dengan kadar pengangguran sekitar 2.9 peratus,” katanya pada sidang akhbar Dialog Tahunan BNM di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti pelaburan kekal menggalakkan apabila kelulusan pelaburan meningkat kepada RM427 bilion pada 2025, manakala kadar pelaksanaan projek pembuatan kekal tinggi sekitar 85 peratus.

Katanya, kejelasan dasar, penyediaan insentif, rantaian bekalan yang pelbagai, infrastruktur kukuh serta tenaga kerja mahir terus menjadi tarikan utama kepada pelabur.

“Pengembangan kapasiti sektor swasta semakin ketara, khususnya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Pelaburan awam dalam sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui dan pengangkutan turut menyokong peningkatan kapasiti produktif negara,” ujarnya.

Dari sudut harga, inflasi dijangka sederhana dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2026.

“Walaupun berdepan ketidaktentuan kos global, inflasi asas dijangka kekal stabil, disokong permintaan domestik yang kukuh serta langkah dasar kerajaan,” katanya.

Mengulas prestasi tahun lalu, beliau berkata, ekonomi domestik terus berdaya tahan meskipun 2025 merupakan tahun yang mencabar.

Katanya, ekonomi berkembang 5.2 peratus dengan inflasi kekal rendah pada 1.4 peratus, disokong permintaan domestik yang kukuh serta eksport yang berdaya tahan.

“Pembiayaan kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat 5.4 peratus, manakala pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang 5.9 peratus.

“Pada masa sama, ringgit turut mengukuh secara beransur-ansur sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata, meneruskan momentum 2024, ringgit mencatat prestasi lebih baik pada 2025 dengan pengukuhan berbanding dolar AS serta mata wang rakan dagang utama.

“Perkembangan ini dipengaruhi faktor global seperti prestasi dolar AS, selain turut disokong kekuatan asas domestik.

“Setakat tahun ini, trajektori positif itu berterusan meskipun terdapat turun naik susulan perkembangan semasa.

“Pada masa hadapan, pergerakan ringgit akan terus dipacu faktor global dan keadaan pasaran, dengan BNM komited memastikan pasaran kewangan kekal teratur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×