BIMOffice Group tampil di Pasaran LEAP pada 26.5 sen

BIMOffice Group tampil di Pasaran LEAP pada 26.5 sen

OOI Choon Lim (tiga dari kanan) pada majlis penyenaraian BIMOffice di Pasaran LEAP Bursa Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BIMOffice Group Berhad (BIMOffice) membuat penampilan sulung di Pasaran LEAP, Bursa Malaysia pada harga 26.5 sen sesaham, mewakili premium sebanyak 76.67 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 15 sen sesaham.

Bersempena penyenaraian itu, BIMOffice melaksanakan penempatan sebanyak 20 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 15 sen sesaham, mewakili 10 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan kepada 200 juta saham, sekali gus meraih hasil kasar RM3 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan BIMOffice Group Berhad, Ts. Ooi Choon Lim berkata, penyenaraian syarikat itu menandakan detik penting dalam perjalanan BIMOffice dalam memperjuangkan transformasi digital industri pembinaan di Malaysia.

Beliau berkata, sejak penubuhan, syarikat itu bekerjasama rapat dengan pelanggan di lapangan bagi memahami kerumitan serta cabaran dalam penyampaian projek.

“Pengalaman tersebut membentuk pendekatan kami yang menekankan inovasi praktikal, kerjasama kukuh serta komitmen untuk membantu pelanggan mencapai hasil projek yang lebih baik melalui BIM.

“Ketika ini, BIM semakin diiktiraf oleh kerajaan dan sektor swasta sebagai pemangkin utama kepada penyelarasan projek yang lebih baik, peningkatan kecekapan serta pengurusan aset kitaran hayat yang lebih berkesan.

“Dengan platform korporat yang diperkukuh susulan penyenaraian serta sokongan berterusan pihak berkepentingan, kami berada pada kedudukan baik untuk mempercepat pembangunan keupayaan teknologi dan memperluas nilai kepada ekosistem pembinaan,” katanya dalam kenyataan.

Selepas penyenaraian, syarikat itu mencatatkan permodalan pasaran indikatif sebanyak RM30 juta.

Hasil penyenaraian akan digunakan terutamanya bagi modal kerja untuk menyokong pengembangan operasi, selain pelaburan modal dalam infrastruktur digital berprestasi tinggi serta stesen kerja BIM, di samping menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Langkah tersebut dijangka meningkatkan keupayaan penyampaian projek kumpulan, sekali gus memperkukuh keupayaan melaksanakan projek pembinaan berasaskan BIM yang lebih besar dan kompleks.

Menurut beliau, penggunaan BIM dijangka terus berkembang dalam kalangan pemaju sektor swasta yang telah merasai manfaatnya, selain disokong mandat kerajaan bagi pelaksanaan BIM untuk projek bernilai RM10 juta dan ke atas.

“Langkah ini dengan sasaran penggunaan menyeluruh menjelang 2030 selaras Dasar Pembinaan Negara akan terus mengukuhkan momentum transformasi digital industri.

“BIMOffice kekal komited untuk memainkan peranan aktif dalam menyokong perkembangan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Thinkat Advisory Sdn. Bhd., Karl Fredericks berkata, BIMOffice merupakan penyedia penyelesaian digital khusus dalam sektor pembinaan yang beroperasi dalam segmen berpotensi tinggi untuk berkembang.

“Rekod prestasi, keupayaan teknologi serta portfolio projek yang semakin berkembang, selain dasar kerajaan yang mewajibkan BIM bagi projek tertentu, meletakkan syarikat itu pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peningkatan pendigitalan industri,” jelasnya. 

Penyenaraian itu menyediakan platform korporat yang lebih kukuh untuk meningkatkan keterlihatan jenama, menarik kerjasama strategik serta menyokong pertumbuhan jangka panjang dalam ekosistem pembinaan digital. 

Thinkat Advisory bertindak sebagai penasihat diluluskan, ejen penempatan dan penasihat mandatori bagi penyenaraian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×