KWSP tolak tawaran jual pegangan IJM kepada Sunway

KWSP tolak tawaran jual pegangan IJM kepada Sunway

PENDAPATAN pelaburan KWSP melonjak 51 peratus pada suku pertama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemegang saham terbesar IJM Corporation Bhd., Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didakwa menolak tawaran Sunway Bhd. untuk mengambil alih kepentingannya dalam kumpulan pembinaan dan hartanah itu, menurut sumber.

Sumber yang mengetahui perkara itu berkata, KWSP buat masa ini tidak berhasrat menerima tawaran berkenaan, meskipun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat.

“Kami tidak mempunyai sebarang kenyataan rasmi, tetapi kami boleh mengesahkan bahawa KWSP telah memutuskan untuk menolak tawaran oleh Sunway,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, KWSP belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan pembelian kepentingan dalam IJM Corporation oleh Sunway.

Dalam pada itu, baru-baru ini, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) turut memutuskan untuk tidak menerima tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) bagi 13.5 peratus kepentingan miliknya dalam IJM yang ditawarkan oleh Sunway. 

Syarikat pengurusan dana terbesar Malaysia itu menegaskan keputusan untuk tidak menerima tawaran di bawah VTO itu telah dibuat oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pengarah (BIC).

Ia selepas menjalankan penilaian teliti, menyeluruh dan bebas, selaras dengan proses pelaburan serta rangka kerja tadbir urus PNB.

KWSP memegang lebih 20 peratus kepentingan dalam IJM, menjadikannya antara penentu utama kejayaan atau kegagalan tawaran pengambilalihan berkenaan.

Setakat ini, tempoh tawaran masih berjalan dan keputusan muktamad daripada pemegang saham utama dijangka menentukan hala tuju urus niaga berprofil tinggi dalam sektor pembinaan dan hartanah itu.

Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat pada harga RM3.15 sesaham.

Ia melibatkan gabungan 10 peratus tunai dan selebihnya dalam bentuk saham baharu yang diterbitkan pada harga RM5.65 sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×