KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menerima sebanyak 1,418 kes kebakaran dengan 1,089 daripadanya adalah kes pembakaran terbuka, melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,619 hektar di seluruh negeri ini.
Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 800 kes melibatkan kebakaran belukar, 114 kes kebakaran hutan dan 25 kes kebakaran ladang.
Katanya, daerah Kota Bharu mencatatkan kes kebakaran terbuka paling tinggi dengan 400 kes, diikuti bachok (278 kes) dan Pasir Mas (173 kes).
“Berlaku peningkatan mendadak bilangan panggilan berkaitan kebakaran terbuka pada bulan ini, iaitu sebanyak 64 peratus daripada keseluruhan panggilan dan kita jangka ia terus meningkat.
“Jangkaan ini selari dengan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) yang meramalkan berlaku cuaca kering hingga pertengahan April dan boleh berlanjutan sehingga Jun ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, sehingga kini keadaan masih terkawal tetapi terdapat kekangan bagi pihak JBPM dalam pengoperasian pemadaman kebakaran terbuka termasuk sumber air terhad dan kesukaran akses ke lokasi kejadian.
Katanya, dalam hal ini, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Ia adalah inisiatif JBPM Kelantan bagi memastikan pihak berkenaan boleh mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas pelaku serta pemilik tanah,” katanya.
Menurutnya, jika keadaan semakin kritikal, pihaknya akan membekukan cuti bersasar dan menggunakan helikopter Unit Udara bagi memastikan kelancaran operasi pemadaman pembakaran terbuka. – UTUSAN











