PETALING JAYA: Di sebalik konflik Asia Barat, kekejaman tentera Zionis terhadap penduduk Palestin tidak pernah berhenti.
Terbaharu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram pihak berkuasa pendudukan Israel yang merampas 15 kediaman di perkampungan Silwan, Baitulmaqdis semalam.
OIC turut memberi amaran keras mengenai langkah haram tersebut yang disifatkan sebagai satu bentuk peningkatan dalam dasar pembersihan etnik dan pengusiran paksa yang berterusan oleh rejim Zionis.
Sekretariat Agung OIC, Hissein Brahim berkata, tindakan pengusiran paksa keluarga Palestin dari kediaman mereka jelas merupakan langkah awal bagi menyerahkan hartanah berkenaan kepada persatuan-persatuan pendatang haram Yahudi.
“Langkah (pihak berkuasa Israel) itu secara terancang bertujuan untuk mengubah identiti Arab, melenyapkan kehadiran penduduk Palestin.
“Perkara itu juga dapat memanipulasi status demografi di Baitulmaqdis yang diduduki,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Katanya, segala keputusan pihak pendudukan Israel, termasuk rancangan perluasan wilayah, pembinaan penempatan haram dan cubaan untuk memaksakan kedaulatan mutlak ke atas Tebing Barat adalah terbatal dan tidak sah.
“Tindakan rejim itu sama sekali tidak mempunyai sebarang keabsahan di bawah peruntukan undang-undang antarabangsa mahupun resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.
“Pertubuhan tersebut memperbaharui gesaannya kepada masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC), untuk tampil memikul tanggungjawab mereka.
“UNSC perlu mengambil tindakan segera bagi menghentikan segala bentuk pencabulan hak asasi dan jenayah kemanusiaan yang sedang rancak dilakukan oleh pihak pendudukan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki,” katanya. – UTUSAN











