SEKTOR industri yang bergantung kepada tenaga dan berorientasikan perdagangan kini berdepan tekanan kos yang semakin meningkat susulan kenaikan harga tenaga global, sekali gus memberi kesan ketara kepada operasi harian syarikat.
Antara sektor paling terjejas termasuk pembuatan, logistik, pembinaan serta industri berat seperti besi dan keluli yang bergantung tinggi kepada penggunaan tenaga.
Selain menanggung kos tenaga secara langsung, syarikat-syarikat ini turut berdepan kesan rantaian melibatkan peningkatan kos pengangkutan, perolehan bahan mentah dan gangguan dalam rangkaian bekalan.
Naib Presiden ESGpedia, József Acabo berkata, situasi tersebut memberi tekanan berganda terhadap margin keuntungan, khususnya apabila kos operasi meningkat serentak di pelbagai peringkat rantaian nilai.
“Apabila kos tenaga meningkat, ia bukan sahaja menjejaskan pengeluaran, tetapi turut mendorong kenaikan kos logistik dan penghantaran, sekali gus memberi kesan kepada harga akhir barangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
ESGpedia ialah syarikat teknologi data dan penyelesaian ESG yang membantu perniagaan mengurus, melaporkan dan mematuhi keperluan kelestarian.
Sehubungan itu, jelasnya, banyak syarikat kini mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan impak tersebut dengan memberi penekanan kepada kecekapan tenaga.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menilai semula strategi perolehan, mengoptimumkan penggunaan tenaga, serta meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Dalam masa sama, syarikat juga dilihat memperkukuh pemantauan terhadap rangkaian pembekal bagi meningkatkan keterlihatan operasi, sekali gus membantu mengurus risiko kos dan gangguan bekalan dengan lebih berkesan.
“Langkah-langkah ini dilihat penting dalam memastikan daya tahan perniagaan terus kukuh, khususnya dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Walaupun harga tenaga melonjak, trend terkini menunjukkan bahawa sesetengah syarikat tidak menangguhkan pelaburan hijau, sebaliknya menjadi lebih selektif dan menumpukan kepada inisiatif kelestarian yang memberi impak jangka panjang.
József berkata, apabila kos meningkat, dorongan untuk menangguhkan sasaran pengurangan karbon dan memberi tumpuan kepada pengurangan kos wujud, terutamanya bagi projek kelestarian yang bersifat pilihan dan kesannya tidak segera kepada perniagaan.
“Namun, banyak syarikat kini menggandakan pelaburan dalam pelbagai inisiatif hijau, termasuk meningkatkan kecekapan tenaga, memperluas akses kepada tenaga boleh diperbaharui dan memperkemas sistem pengurusan data.
“Langkah-langkah ini dilihat sebagai strategi penting untuk mengurangkan pendedahan risiko masa depan, terutamanya ketika pasaran tidak menentu.
“Dalam usaha menyeimbangkan daya saing dan komitmen terhadap matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat yang berjaya kini menyepadukan ESG ke dalam perolehan, operasi, dan perancangan modal.
“Antara inisiatif utama termasuk mengurangkan pembaziran tenaga, meningkatkan keterlihatan data, memperkukuh prestasi pembekal, serta memperkenalkan sumber tenaga lebih bersih apabila memberi manfaat komersial.
“Pendekatan ini menjadikan pengurusan ESG bukan sekadar pematuhan atau reputasi, tetapi juga cara untuk menjalankan perniagaan lebih cekap dan berdaya tahan,” katanya.
Menurutnya, dari sudut dasar kerajaan, Malaysia dilihat semakin menyokong usaha peralihan tenaga dengan kejelasan lebih baik berkenaan laporan kelestarian, jalur pendedahan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan agenda peralihan tenaga secara menyeluruh.
“Walaupun dasar mendorong tindakan, pelaksanaan dan kepakaran masih menjadi cabaran bagi banyak syarikat, terutamanya yang perlu menyeimbangkan keperluan domestik dan permintaan pasaran antarabangsa.
“Justeru, kelajuan peralihan tenaga bergantung kepada kemampuan sistem dan kepakaran perniagaan untuk bertindak balas dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, peralihan tenaga bukan lagi sekadar keperluan pematuhan, tetapi semakin menjadi keperluan strategik bagi syarikat.
“Walaupun peraturan membantu mempercepatkan proses ini, faktor pendorongnya lebih luas daripada sekadar kepatuhan,” ujarnya. – UTUSAN










